Ketua badan pemantau hak asasi manusia Syria, Rami Abdel Rahman berkata, lapan orang awam termasuk enam kanak-kanak turut maut dalam serangan udara tentera Syria di pekan Jisr al-Shughur.

Pertempuran sejak Rabu lalu menyaksikan sekurang-kurangnya 57 orang askar kerajaan maut manakala 44 pemberontak terbunuh.

“Pertempuran masih berlaku ketika jet pejuang kerajaan dan artileri terus menggempur kawasan itu yang dikuasai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres turut mengecam serangan tentera kerajaan dan menggesa orang awam dan kemudahan termasuk kemudahan perubatan supaya dilindungi.

“Beberapa kemudahan kesihatan dilapor diserang semalam termasuk sebuah hospital di Maarat al Numan, sebuah hospital terbesar di kawasan itu,” kata kenyataan PBB, semalam. - AFP