Lapor Mirror Online, kura-kura berkenaan yang diberi nama Fred telah ‘melarikan diri’ sejauh 1.6 ki­lometer dari rumahnya walaupun hanya mampu bergerak sepantas 0.010 kilometer sejam.

Fred dijumpai oleh seorang pemandu kereta yang hampir me­langgarnya.

Pemandu berkenaan membawa Fred pulang ke rumahnya sebelum melihat sebuah artikel dalam surat khabar tempatan mengenai kehilangan haiwan terbabit.

Lelaki itu kemudiannya me­ngembalikan Fred kepada pemiliknya, Terry Phelps, 86, dan iste­rinya, Sue, 73, yang bimbang akan kehilangannya.

“Saya tidak mampu membalas jasa baik penyelamat Fred. Saya tidak tidur nyenyak sejak haiwan itu hilang,” kata Terry yang telah menjaga Fred selama lebih 30 tahun.

Ketika Fred dilaporkan hilang, pasangan berkenaan mencari­nya di kawasan berdekatan dan me­minta bantuan jiran tetangga untuk mencepatkan usaha penca­rian tersebut.

Malah rakan-rakan pasangan terbabit turut memuat naik berita kehilangan Fred di laman sosial.

“Kebiasaannya saya akan membuka pintu belakang pada waktu pagi dan melihat Fred berada di situ. Fred selalunya ‘menjerit’ meminta makanan, tetapi haiwan itu tiada di situ pada minggu lalu.

“Kanak-kanak di rumah berse­belahan sedih, mereka membawa­nya salad untuk memberi makan kepada Fred. Fred tinggal di kandang di taman rumah dan tidak pernah keluar dari situ,” jelas Terry.