Menurut laporan media tempatan, jumlah mereka yang maut akibat kekurangan bekalan makanan kini mencecah enam orang di negara ini yang kaya dengan sumber minyak mentah tetapi mengalami krisis sejak bulan Di­sember lalu.

Di bandar Arapuey, kejadian mencuri makanan di beberapa kedai berlaku sejak beberapa hari lalu selain pertempuran dengan anggota tentera, kata ahli Parlimen pembangkang, Carlos Pa­paroni.

Jelas beliau, kira-kira 100 orang telah ditahan.

Seorang lagi ahli Parlimen pembangkang, Gaby Arellano berkata, kawasan itu telah diambil alih oleh tentera dan polis manakala pemilik kedai sedaya upaya cuba melindungi kedai masing-masing.

Negara ini dilanda krisis teruk yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak, inflasi dan rasuah yang telah menjejaskan ekonomi negara.

Sejak beberapa hari lalu, banyak kejadian mencuri dan cubaan mencuri telah berlaku di beberapa bandar di negara ini.

Kelmarin, seorang remaja berusia 19 tahun mati ditembak ketika beratus-ratus orang mencuri ayam dan tepung dari sebuah lori di bandar Guanare.

Pada bulan lalu, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut setelah ditembak di kepala, didakwa dilakukan oleh seorang anggota tentera ketika mangsa sedang menunggu untuk membeli daging yang diagihkan oleh kerajaan.

Venezuela dijangka menghadapi inflasi pada tahap tertinggi iaitu 2,300 peratus tahun ini.

Universiti tempatan memaklumkan, sebanyak 30.2 peratus penduduk negara ini adalah miskin dan 51.5 peratus lagi merupakan penduduk miskin tegar namun kerajaan meletakkan unjuran masing-masing pada 18.3 peratus dan 4.4 peratus. – AFP