Jelas KPU, perkara itu dilakukan biarpun calon Pilpres nombor dua, Prabowo Subianto bersama gandingannya, Sandiaga Uno tidak menghadiri sidang pleno KPU di sini.

Sidang berkenaan diadakan mengikut Peraturan KPU Nombor 5 (2018) yang mewajibkan KPU menetapkan pelantikan Presiden dan Naib Presiden dalam tempoh tiga hari selepas keputusan pertikaian Pilpres di Mahkamah Konstitusi (MK).

CNN Indonesia melaporkan, Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra memaklumkan, ketidakhadiran Prabowo dan Sandiaga disahkan Ketua Jabatan Penasihat Guaman Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Hendarsam Marantoko.

Delegasi Jokowi dan Ma'ruf diketuai Ketua Tim Kempen Nasional (TKN), Erick Thohir.

Menurut Setiausaha TKN, Verry Surya Hendrawan, keha­diran gandingan tersebut dalam pleno itu adalah sebagai tanda syukur dan terima kasih atas semua perkara yang sudah di­selesaikan sepanjang pemilihan umum (Pemilu).

"Kehadiran Jokowi dan Ma'ruf disertai oleh ketua umum dan setiausaha agung parti politik dalam Pakatan Indonesia Kerja serta barisan pemimpin TKN," katanya.

Verry menyatakan, Prabowo-Sandiaga boleh me­nun­jukkan kekuatan demokrasi jika bersama menghadiri sidang pleno terbabit.

Jelasnya, TKN yakin Jokowi dan Prabowo adalah dua tokoh yang sentiasa mengutama­kan kebajikan dan hak rakyat.

Terdahulu, Prabowo dan Sandiaga dipastikan tidak akan membawa pertikaian mengenai Pilpres ke mahkamah antarabangsa.

Ahli politik Gerindra, Andre Rosiade berkata, mahkamah antarabangsa tidak mempunyai kuasa untuk menangani pertikaian Pilpres yang berlaku di dalam sesebuah negara.