Menurut akhbar Donga Ilbo di sini yang memetik sumber kerajaan, gambar-gambar satelit menunjukkan peluru berpandu telah dinaikkan ke atas pelancar dan diangkut keluar daripada kawasan dekat Pyongyang dan utara wilayah Phyongan.

Semalam, AS berkata, kapal pengangkut pesawat milik­nya, USS Ronald Reagan akan menge­tuai latihan tentera yang akan diadakan minggu depan bertujuan untuk mempamerkan kekuatan negara itu terhadap Korea Utara sekali gus meningkatkan lagi ketegangan di rantau itu.

Tindakan itu juga akan mencetuskan kemarahan Pyongyang yang menunjukkan sikap sama terhadap latihan ketenteraan bersama antara ke­dua-dua negara sebelum ini.

Lapor akhbar berkenaan, pegawai-pegawai tentera AS dan Korea Selatan mengesyaki Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melancarkan peluru berpandu yang mampu sampai ke AS.

Akhbar itu juga melaporkan, peluru berpandu itu dipercayai jenis antara benua (ICBM) Hwasong-14 yang boleh mengenai sasaran di Alaska atau jarak sederhana, Hwasong-12 yang didakwa oleh Pyongyang akan digunakan untuk menyerang Guam.

Kemungkinan lain termasuklah Korea Utara mungkin bersiap sedia untuk menguji ICBM Hwasong-13 iaitu peluru berpandu jarak lebih jauh berbanding dua peluru berpandu tersebut dan dipercayai boleh sampai ke pantai barat AS.

Walau bagaimanapun jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan enggan mengulas lanjut tentang laporan itu.

“Kami tidak boleh memberi maklumat risikan ketenteraan tetapi kami mengawasi Korea Utara, katanya.”– AFP