Pyongyang dilaporkan sedang menilai dengan teliti rancangan untuk menyerang Guam yang menempatkan kira-kira 163,000 orang penduduk dan pangkalan tentera AS termasuk skuadron kapal selam, pangkalan udara serta kumpulan pengawal pantai.

Jurucakap Tentera Rak­yat Korea dalam satu ken­yataan yang dikemukakan oleh agensi berita KCNA berkata, rancangan serangan itu akan dilaksanakan bila-bila masa selepas pemimpinnya, Kim Jong-Un membuat keputusan meluluskannya.

Dalam satu lagi kenyataan yang memetik jurucakap tentera berlainan, Korea Utara menuduh AS mencipta ‘perang pencegahan’ dan mengugut mahu melancarkan serangan besar-besaran terhadap kubu kuat dan Tanah Besar AS.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump memberitahu negara itu bahawa sebarang ancaman terhadap AS akan dibalas dengan ‘api dan kemusnahan’.

Washington memberi amaran bahawa negara itu bersedia menggunakan kekerasan untuk menghentikan program peluru berpandu balistik serta nuklear Korea Utara dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah sebulat suara mengenakan sekatan baharu ke atas negara itu pada Sabtu lalu.

Gabenor Guam, Eddie Calvo, bagaimanapun menolak ancaman tersebut dan berkata pulau tersebut sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan dengan kedudukan pasukan pertahanan yang strategik.

Beliau turut memberitahu telah berhubung dengan White House dan mengesahkan tidak ada sebarang perubahan dalam tahap ancaman di pulau itu setakat ini.

“Guam adalah tanah AS ... Kita bukan sekadar lokasi pangkalan ketenteraan,” kata Calvo menerusi pesanan video dalam talian.

Angkatan Pertahanan Udara Jepun mengesahkan jet pejuang Jepun telah mengadakan latihan udara dengan pesawat pengebom supersonik B-1B tentera AS di ruang udara Jepun berhampiran dengan semenanjung Korea semalam.

Pada Isnin lalu, dua pesawat pengebom B-1A dilaporkan terbang dari Guam ke Semenanjung Korea sebagai sebahagian daripada kawalan ketenteraan berterusan di ruang udara pulau tersebut.

Pulau yang popular dengan pelancong Jepun dan Korea Selatan itu turut dilindungi oleh Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) yang turut dipasang di Korea Selatan.

Dalam pada itu, ketegangan antara Washington dan negara komunis itu dilaporkan turut menggugat pasaran kewangan dunia dan mendorong pegawai dan penganalisis AS mengeluarkan amaran supaya Trump tidak terlibat dalam perdebatan retorik dengan Korea Utara.

Senator Republikan, John McCain berkata, Trump sepatutnya berhati-hati ketika mengeluarkan ancaman terhadap Pyongyang kecuali jika beliau benar-benar bersedia untuk bertindak. – REUTERS

“Saya mengambil pengecualian kepada komen Presiden kerana kita perlu betul-betul yakin mampu melakukan tindakan seperti apa yang kita katakan,” katanya dalam satu wawancara radio. – REUTERS