Gempa bumi berukuran 6.6 skala Richter pada Khamis lalu melumpuhkan Pulau Hokkaido, menyebabkan semua perkhidmatan pengangkutan udara, darat dan air dihentikan buat sementara waktu dan bekalan elektrik terputus.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Jepun, kira-kira 2,500 mangsa masih tinggal di pusat perlindungan selepas beberapa insiden tanah runtuh meranapkan banyak kediaman, selain keadaan hujan dijangka memburukkan keadaan dalam tempoh terdekat.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, kira-kira 40,000 anggota keselamatan termasuk polis dan bomba bertungkus-lumus membersihkan serpihan runtuhan dan kawasan sekitar.

Namun, tiada lagi mangsa hilang dilaporkan setakat ini.

Bekalan elektrik sudah disambungkan semula kepada semua penduduk di Hokkaido, tetapi Menteri Perdagangan Jepun, Hiroshige Seko mengingatkan semua penduduk supaya berjimat menggunakannya dengan kadar hanya 20 peratus bagi mengelakkan bekalan terputus semula.

“Semua penduduk, perniagaan, kerajaan dan syarikat tenaga perlu bekerjasama mencapai misi penjimatan bekalan elektrik sehingga 20 peratus.

“Setakat ini, kerajaan tiada rancangan untuk menutup bekalan elektrik pada hari ini dan esok biarpun loji tenaga masih ditutup,” katanya.

Sementara itu, syarikat penge­luar kenderaan Toyota Motor Corp hari ini memaklumkan bahawa kilangnya di Tomakomai, Hokkaido akan beroperasi semula pada waktu malam ini selepas ditutup sementara susulan gempa tersebut. – REUTERS