Majoriti yang terkorban adalah penduduk Astuma, sebuah bandar kecil di kawasan luar bandar.

Menurut laporan NHK, seramai 35 terbunuh dengan kira-kira lima orang masih lagi belum ditemukan.

Lebih 600 orang cedera, kata Kerajaan tempatan Pulau Hokkaido.

“Kami tidak pernah me­ngalami tanah runtuh di sini,” kata Akira Matsushi­ta yang kehilangan saudaranya di Atsuma.

“Saya tidak mempercayainya sehinggalah saya melihat dengan mata kepala sendiri,” beliau memberitahu TV Asahi.

“Selepas menyaksikannya (bencana itu), saya tahu tiada siapa yang terselamat,” katanya.

Sejumlah 40,000 anggota pasukan penyelamat mencari mangsa dengan bantuan buldozer, anjing pengesan dan juga 75 helikopter, kata jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga kepada pemberita.

Perdana Menteri Shinzo Abe berkata, beliau akan melawat mangsa bencana itu di Hokkaido Ahad ini, demikian menurut Jiji Press.

Kesemua tiga juta isi rumah di Hokkaido bergelap apabila gempa yang berlaku pada Khamis merosakkan loji haba yang membekalkan elektrik ke rantau ini, tetapi Abe berkata, kebanyakan bekalan telah di­pulihkan.

Abe berkata, kerajaan akan mengeluarkan dana kecemasan untuk membekalkan makanan, air dan bahan api yang diperlukan untuk penjana kuasa di hospital.

Sebanyak 31,000 isi rumah masih tidak mempunyai air dan kira-kira 16,000 orang telah dipindahkan ke tempat perlindungan.

Gempa bumi juga menyebabkan beberapa rumah dan dinding runtuh di bandar utama Sapporo, de­ngan mengambilkira kekuatan gempa bumi yang berlaku, jumlah kematian yang dialami agak kecil dengan kebanyakannya akibat tanah runtuh di Atsuma.

Penerbangan antarabangsa di lapangan terbang utama di Sapporo kembali beroperasi pada hari Sabtu, manakala kereta api laju memulakan perkhidmatan sehari sebe­lumnya.– AFP