Hal demikian kerana persidangan tersebut tidak mengundang Palestin untuk duduk bersama membincangkan hala tuju keselamatan Asia Barat selain menyifatkan tindakan itu sebagai ‘Konspirasi Amerika’.

Penganjuran persidangan bersama AS-Poland yang pertama kali diumumkan bulan lalu oleh Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo itu akan diadakan pada 13 dan 14 Februari ini dan dihadiri menteri-menteri berkaitan seluruh dunia.

Palestin tidak diundang dalam persidangan berkenaan, mungkin disebabkan ketega­ngan hubungan dengan AS, walaupun konflik Israel-Palestin boleh dibincangkan.

Antara yang dijangka hadir adalah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta Penasihat Kanan Presiden Donald Trump, Jared Kushner dan wa­kil khas AS di Asia Barat, Jason Greenblatt, termasuk Pompeo.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Palestin melabelkan pertemuan itu sebagai ‘Konspirasi Amerika’ yang bertujuan mendapatkan ‘soko­ngan’ negara terlibat terhadap pandangan AS mengenai isu di Asia Barat, khususnya perso­alan mengenai kedudukan Pa­lestin.

Kementerian itu menegaskan, kerajaan Palestin akan mengabaikan segala kesimpulan yang dibuat hasil daripada pertemuan tersebut.

Kerajaan Palestin enggan mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan pentadbiran Trump sejak pemimpin AS itu mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 2017.

Sikap berat sebelah AS yang pro-Israel itu menyebabkan Pa­lestin melihat Amerika tidak lagi layak menjadi perantara dalam membincangkan proses damai Palestin-Israel yang sekian lama terhenti.

Pentadbiran Trump juga telah beberapa kali menangguhkan cadangan pelan damai tersebut walaupun menyatakan masih berminat untuk membentangkan pelan itu.

Kementerian Luar Palestin juga mengkritik Trump kerana ‘memuji’ tindakan memin­dahkan Kedutaan AS ke Baitulmuqaddis semasa sesi State of the Union baru-baru ini.

“Niat jahat pentadbiran itu telah diulangi oleh Trump dalam ucapannya kepada Kong­res apabila menekankan terus menerus dasar mutlak kecen­derungan terhadap Israel,” jelas kementerian itu. – AFP