Lapor BBC, perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt selepas pemilik kapal tangki Stena Impero gagal menghubungi kapal tersebut.

Stena Impero dilapor membawa 23 anak kapal, 18 warga India; tiga Rusia; seorang rakyat Filipina dan Latvia yang dalam perjalanan menuju ke Arab Saudi.

Jelas Hunt, kapal tersebut dikepung oleh empat kapal lain dan sebuah helikopter dipercayai milik Iran ketika sebuah lagi kapal tangki Britain, Mesdar mengalami insiden serupa sebelum dibenarkan meneruskan pelayaran mereka.

Pihak berkuasa berjaya menghubungi semula Mesdar selepas kapal tangki itu diserbu pasukan bersenjata pada pukul 5.30 petang waktu tempatan, semalam dan kesemua 25 kru kapal dalam keadaan selamat.

Jurucakap kerajaan Britain memberitahu BBC bahawa, kerajaan memandang serius insiden yang berlaku dan telah menasihatkan semua syarikat perkapalan United Kingdom (UK) menjauhi Selat Hormuz dan sekitarnya buat sementara waktu.

Selain itu, Hunt menyifatkan insiden yang berlaku sebagai ‘tidak boleh dite­rima’ dan ‘kebebasan pelayaran perlu dikekalkan’.

“Kami amat jelas jika situasi ini tidak diselesaikan segera, Iran akan menerima akibat yang buruk.

“Kami tidak mahu menggunakan pilihan ketenteraan dan kami cuba menyelesaikan situasi ini menerusi diplomatik,” tegas Hunt.

Insiden itu berlaku beberapa jam selepas sebuah mahkamah di Gibraltar memutuskan untuk melanjutkan penahanan sebuah kapal tangki Iran kepada 30 hari lagi setelah ditahan dua minggu lalu oleh tentera Marin Diraja Britain.

Ketegangan di Teluk memuncak beberapa minggu lalu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan serangan udara ke atas Iran pada saat akhir selepas Iran menembak jatuh sebuah dron AS bulan lalu.

IRAN PERJELAS KEADAAN SEBENAR

Teheran dalam pada itu membuka siasatan terhadap Stena Impero selepas kapal tangki itu didakwa melanggar sebuah kapal nelayan di Selat Hormuz yang merupakan laluan ketiga minyak paling sibuk di dunia.

Menurut pihak berkuasa bandar pelabuhan Bandar Abbas, lokasi kapal itu berlabuh, kapal tangki terbabit yang dalam perjalanan ke Arab Saudi berlanggar dengan sebuah kapal nelayan.

“Kapal itu berlanggar de­ngan sebuah kapal nelayan dan menurut undang-undang, selepas berlaku kemalangan, menjadi kemestian punca kemalangan tersebut disiasat,” kata Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan wilayah Hormozgan, Allah-Morad Afifipoor.

Katanya, selepas berlaku kemalangan, kru kapal nelayan cuba menghubungi kapal tangki itu namun tidak dijawab sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa Iran selaras prosedur perundangan.

Perancis dan Jerman sementara itu menuntut Iran membebaskan segera kapal tangki terbabit yang disifatkan mereka memburukkan lagi konflik di Teluk ketika Filipina meminta Teheran membebaskan seorang warganya yang ditahan.

IRAN SANGGAH AS DRON DITEMBAK JATUH

Dalam perkembangan berkaitan, Pengawal Revolusi Iran mendedahkan satu rakaman yang diambil menggunakan dron di sekitar Selat Hormuz yang merakamkan pesawat itu memantau kapal perang AS selama tiga jam.

“Kesemua dron milik Iran selamat pulang ke pangkalan mereka, malah tiada laporan berlakunya pertempuran de­ngan kapal USS Boxer,” kata jurucakap tentera udara Iran, Brigadier Jeneral Abolfazl She­karchi.

Presiden AS, Donald Trump kelmarin mendakwa dron tersebut ditembak jatuh selepas ia terbang dalam jarak 900 meter berhampiran kapal perang tentera negara itu, selain tidak mengendahkan amaran supaya berundur.

Malah Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dalam nada berseloroh mendakwa AS mungkin menembak jatuh dron milik negara itu sendiri.

AS HANTAR ASKAR KE TELUK

Sementara itu, AS dalam perkembangan berkaitan meluluskan penghantaran anggota dan sumber ketentera­annya ke Arab Saudi ekoran ketegangan di Teluk.

Kata Pentagon, langkah itu menyediakan pencegahan tambahan kepada sebarang ancaman di rantau berkenaan.

Terdahulu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud meluluskan ‘tajaan’ pasukan tentera AS di negara itu bagi meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau. – AFP/AGENSI