Jurucakap Tentera Darat Pakistan (PAF), Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, pesawat tentera udara India terbang di ruang udara Pakistan ketika PAF melancarkan operasi berhampiran sempadan Kashmir di bahagian India.

Susulan itu, Pakistan menutup ruang udaranya berikutan risau berlaku konflik habis-habisan dengan India.

Pihak Berkuasa Penerba­ngan Awam (CAA) menyatakan ‘secara rasmi penutupan ruang udara Pakistan sehingga notis lanjut manakala jurucakap tentera Pakistan menjelaskan keputusan itu berikutan keadaan situasi semasa.

Menurut laporan Reuters, salah sebuah daripada pesawat tersebut ‘jatuh’ di sempadan Kashmir di bahagian India manakala sebuah lagi pesawat mendarat di Pakistan, mengakibatkan dua juruterbang ditahan.

Jurucakap Kementerian Luar India, Rajeesh Kumar pula memaklumkan sebuah jet pejuang Pakistan ditembak jatuh dan dilaporkan terhempas di wilayah Pakistan.

Di Srinagar, sebuah helikopter milik Tentera Udara India terhempas serta meletup menyebabkan tiga terbunuh dan pihak berkuasa sedang menyi­asat punca kejadian.

Dalam kejadian semalam, India melancarkan sera­ngan udara terhadap apa yang didakwa sebagai ‘kem latihan pengganas’.

Ketegangan antara ke­dua-dua negara dilihat memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini berikutan kematian 40 orang anggota keselamatan India dalam insiden pengebom bunuh diri, ditambah dengan insiden semalam.

Lapor The Guardian, kejadian semalam merupakan yang pertama dijalankan oleh India sejak kedua-dua negara mengisytiharkan perang pada 1971.

Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale menyifatkan sera­ngan itu sebagai ‘langkah awal’ selepas menerima maklumat bahawa kumpulan militan Jaish-e-Mohammed (JeM) yang terbabit dalam insiden pengebom bunuh diri baru-baru ini, melatih anggota untuk serangan baharu di kawasan berkenaan.

Perdana Menteri Pakis­tan, Imran Khan pula berkata, dakwaan India itu hanyalah ‘bersifat pentingkan diri, melulu dan khayalan semata-mata’.

India mahu meredakan ke­tegangan dengan Pakistan selepas melancarkan serangan berkenaan. – AGENSI/AFP