Pegawai berkuasa berkata, rumah-rumah yang musnah tersebut kebanyakannya terletak kawasan Leilani Estates, di mana batu lebur, gas toksik dan stim panas keluar ke permukaan bumi melalui rekahan tanah akibat gunung berapi itu.

“Pegawai sedang mengemas kini bilangan rumah yang musnah selepas melakukan tinjauan udara di kawasan berkenaan. Jumlah itu dikhuatiri terus meningkat dan keadaannya amat menyedihkan,” kata jurucakap Hawaii County, Janet Snyder.

Amber Makuakane, 37, seorang guru dan jugaibu tunggal berkata, rumah kediamannya yang me­ngandungi tiga bilik tidur di Leilani Estates musnah akibat lava panas itu.

Lava telah meliputi kawasan sekitar 36,000 meter persegi yang mengelilingi rekahan paling aktif, walaupun pergerakan berlaku pada kadar yang perlahan.

Sehingga kini, tiada petunjuk yang dapat menyatakan bilakah gunung itu berhenti memuntahkan lava dan sejauh mana ia mungkin merebak.

“Terdapat lebih banyak magma dalam gunung berapi yang akan meletus. Selagi ia ada, letusan akan berterusan,” kata pakar Vulkanologi Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS), Wendy Stovall.

Seorang penduduk, Cherie McArthur turut bimbang tentang ladang kacang macadamia miliknya di Lanipuna Gardens, sebuah lagi kejiranan berhampiran Leilani Estates yang menyaksikan berlakukan perpindahan penduduk.

“Hasil pertama tanaman tahun ini sepatutnya dikutip hujung minggu ini. Jika saya kehilang­an ladang itu saya tidak tahu ke mana lagi hendak pergi, bayangkan kami akan kehilangan sumber pendapatan dan tempat tinggal pada masa yang sama.

“Saya telah mengusahakan ladang itu selama lebih 20 tahun. Apa yang boleh saya lakukan adalah berdoa dan berharap selain cuba mendapatkan semua maklumat yang ada,” katanya.

Menurut Persatuan Palang Merah, kira-kira 240 orang dan 90 ekor haiwan mendapatkan bantuan di tempat perlindung­an sementara dan penduduk hanya dibenarkan untuk pulang sebentar ke rumah mereka bagi mendapatkan ubat-ubatan atau dokumen penting.

Gunung berapi tersebut mula meletus minggu lalu dan keadaan bertambah buruk apabila gempa kuat 6.9 magnitud tercetus Jumaat lalu, menyebabkan lebih 1,700 penduduk terpaksa dipindahkan. – AGENSI