Zionis semakin berani me­rampas tanah milik penduduk Palestin sehingga hari ini apabila Amerika Syarikat (AS) selaku kuasa dominan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Pejabat Koordinasi Hal Eh­wal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mendedahkan sekurang-kurangnya 39 kediaman penduduk Palestin telah dirobohkan menyebabkan kira-kira 181 orang termasuk 107 kanak-kanak hilang tempat tinggal sepanjang bulan lalu sahaja.

Dianggarkan sebanyak 1,401 kediaman penduduk Palestin di Tebing Barat telah dimusnahkan pihak berkuasa Israel dari 2006 hingga tahun lalu yang mana memberi kesan kepada lebih 6,000 orang.

Hakikatnya, jumlah mereka yang kehilangan tempat tinggal dianggarkan lebih tinggi apabila Mahkamah Tinggi Israel membenarkan dan mengiktiraf pengusi­ran dan merobohkan rumah penduduk Palestin di Tebing Barat.

Menurut laporan berjudul ‘Keadilan Palsu’ yang dikeluarkan oleh kumpulan hak asasi B’Tselem, keputusan mahkamah itu membenarkan Zionis meneruskan polisi-polisi haram terhadap penduduk Palestin seperti meminimumkan projek perumahan mereka sebaliknya meluaskan pembinaan kediaman masyarakat Yahudi.

Hal demikian kerana penduduk Palestin akan membina penempatan tanpa permit apabila terdesak dan kesemua struktur tersebut dianggap tidak sah oleh Israel, tindakan yang memboleh­kan mereka mengeluarkan arahan perobohan.

Penderitaan penduduk Palestin di bumi sendiri mungkin akan lebih parah apabila Israel merancang untuk ‘menutup mata dunia’ dengan mengusir pemerhati awam antarabangsa sementara Hebron (TIPH) di Hebron.

Keputusan itu bermaksud Israel telah melanggar perjanjian dibuat antara rejim itu bersama kerajaan Palestin serta lima negara lain.

Bagaimanapun AS sekali lagi membuktikan kepada dunia apabila memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada rejim Zionis dengan menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengecam tindakan Israel me­ngusir TIPH.

Sokongan AS terhadap Israel terutamanya selepas Donald Trump diangkat menjadi Presiden sedikit sebanyak mempengaruhi banyak negara sekutunya untuk membisu tentang tindakan aparteid rejim Zionis.

Negara-negara dunia mem­bisu bukan kerana tidak menghiraukan kezaliman Zionis yang menyebabkan rakyat Palestin hilang tempat tinggal, hidup dalam ketakutan dan menjadi pelarian namun kerana berasa takut kehilangan dana atau takut dilabel sebagai anti-semitisme atau sikap permusuhan kepada Yahudi.