Kumpulan sivik, Pertubuhan Reformasi Demokratik (ADR) mendedahkan, 24 peratus daripada jumlah itu terlibat dalam jenayah berat seperti membunuh, cubaan membunuh dan merogol.

Laporan itu menyaksikan 116 daripada 303 ahli Parlimen daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi kini sedang dibicarakan di mahkamah atas pelbagai pertuduhan termasuk mencetuskan keganasan.

India yang mempunyai tunggakan kes lebih 30 juta di mahkamah sejak sedekad yang lalu menyebabkan kes pertuduhan ke atas mereka tidak dapat diselesaikan dengan segera.

Apabila isu itu dibangkitkan, rata-rata mereka mendakwa, perkara tersebut adalah tuduhan palsu yang sengaja dilemparkan serta bermotifkan politik.

Malah parti-parti utama menyifatkan adalah tidak adil menghalang mana-mana pihak daripada bertanding dalam pilihan raya melainkan mereka disabitkan dengan kesalahan 
di mahkamah.

Mengikut perundangan India, mana-mana individu yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun atau lebih secara automatiknya hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Ahli Parlimen yang berlatarbelakangkan jenayah bukanlah satu fenomena baharu di India.

Pada 2014, Modi ketika mengangkat sumpah pada penggal pertama Perdana Menteri bertekad untuk membersihkan rasuah dan pe­ngaruh wang dalam perjalanan politik, namun perkara itu dilihat semakin buruk.

Bekas Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahabuddin Y. Quraishi berkata, peratusan calon yang terlibat dalam kes jenayah menyaksikan kira-kira 24 peratus pada pilihan raya 2004, dan angka itu terus meningkat kepada 33 peratus pada 2009.

“Sementara itu pada pilihan raya 2014 pula, kira-kira 34 peratus daripada calon disahkan terlibat dalam perbicaraan kes jenayah dan angka ini terus meningkat secara mendadak pada kali ini dengan 43 peratus,” katanya seperti dilaporkan AP.

Pengasas ADR, Jagdeep S. Chhokar berkata, trend yang semakin berkembang dalam politik India ini menyebabkan parti politik berkenaan tidak berani ‘disentuh’.

“Kita perlu mendidik pengundi supaya menolak ahli politik seperti ini,” tegasnya.