Lapangan Terbang Haneda di luar Tokyo sedang memulakan ujian sebuah kerusi roda pintar tanpa wayar dipanggil Whill Next yang dikendalikan oleh aplikasi komputer untuk membantu membawa penggunanya di sekitar lapangan terbang dan juga membawa bagasi mereka ke kenderaan.

Kerusi roda pintar tersebut turut direka khas untuk bergerak di kawasan yang sesak di lapangan terbang serta memuatkan bagasi secara automatik bagi memudahkan golongan kurang upaya.

Menurut portal berita Mail Online, sistem tersebut dibangunkan oleh syarikat elektronik Jepun, Panasonic sempena penganjuran Sukan Olimpik Musim Panas 2020 di Tokyo.

“Menggunakan teknologi mobiliti autonomi yang dibangunkan untuk robot, kerusi roda dapat mengenal pasti kedudukan, memilih laluan dan secara automatik berpindah ke input destinasi melalui telefon pintar.

“Jika kerusi roda mengesan akan berlaku perlanggaran ia akan berhenti secara automatik. Kerusi roda juga mempunyai sambungan penderia yang membolehkan keluarga dan rakan pengguna bergerak bersama-sama,” kata Panasonic dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap Panasonic, kerusi roda berkenaan direka bagi mengurangkan beban kerja kakitangan lapangan terbang dan mampu bergerak sejauh 15 kilo­meter dengan kelajuan lapan kilome­ter sejam.

“Kerusi roda yang dibangunkan oleh Panasonic dan WHILL Inc. ini merupakan sebahagian daripada program yang lebih luas untuk melengkapkan lapangan terbang dengan robot yang bertanggungjawab untuk pelbagai tugas.

“Bagi pembangunan tek­nologi ini, kami juga mene­rima geran daripada Pertubuhan Tek­nologi Tenaga dan Teknologi Ba­haru (NEDO),” jelas­nya.