BBC melaporkan, Abdul Salam Maftoon mula mendapat perhatian selepas juri program nyanyian tersebut menyamakan wajahnya dengan Trudeau.

Lelaki berusia 29 tahun itu menyatakan persamaan tersebut secara tidak langsung me­ningkatkan peluangnya untuk memenangi pertandingan ter­babit kepada 50 peratus.

“Saya tidak pernah mengenali Trudeau sehinggalah saya melihat gambarnya dalam media sosial dan saya sendiri berasa terkejut kerana wajah kami hampir seiras,” katanya.

Selain itu, penduduk Afghanistan juga mula menularkan gambar perbandingan antara Abdul Salam dengan Trudeau dalam media sosial.

Dalam pada itu, seorang daripada juri pertandingan Afghan Star, Qais Ulfat juga juga merupakan pemuzik kelahiran Afghanistan-Kanada memberitahu bahawa dia pertama kali menyedari persamaan antara kedua-duanya selepas Abdul Salam tersenarai sebagai 12 peserta ke peringkat akhir.

“Saya perasan lelaki itu kelihatan seiras dengan Perdana Menteri saya dan kami mula mengusiknya,” katanya.

Sementara itu, Abdul Salam yang merupakan penyanyi majlis perkahwinan berharap pertandingan tersebut dapat membuka peluang yang lebih luas untuknya meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.

“Saya tidak kisah menang atau kalah, saya cuma berharap pertandingan ini dapat mening­katkan kerjaya saya,” jelasnya. – AGENSI