Arahan berpindah di bandar Santa Barbara itu mengubah kawasan kejiranan di daerah berkenaan menjadi bandar berhantu ketika abu kebakaran ‘jatuh’ seperti salji tebal.

Angin kencang dan keadaan kering dijangka kekal sepanjang minggu ini ketika bencana yang digelar Thomas Fire di California Selatan itu memusnahkan lebih 1,000 struktur dan mengancam 18,000 yang lain sejak berlaku pada 4 Disember lalu.

Ketua Jabatan Bomba Santa Barbara, Martin Johnson berkata, kebakaran itu seperti ‘seekor binatang buas’.

“Namun kami akan membunuhnya,” tegasnya.

Hampir 8,500 anggota menggunakan 1,000 jentera dan 32 buah helikopter dikerah memadam kebakaran itu yang berjaya dikawal setakat 40 peratus, semalam.

Dalam pada itu, arahan berpindah baharu dikeluarkan di sebahagian kawasan Santa Barbara ketika angin kencang memburukkan kebakaran tersebut.

Pejabat Gabenor Perkhidmatan Kecemasan memberitahu, asap tebal di Montecito menghalang pesawat memadam kebakaran di kawasan itu.

Kebakaran memaksa banyak sekolah ditutup selama beberapa hari manakala ribuan penduduk mening­galkan rumah mereka selain mengakibatkan kualiti udara di California Selatan menjadi buruk.

Sementara itu, kos keseluruhan memadam kebakaran itu mencecah AS$110 juta (RM448 juta). – REUTERS