Jurucakap Jabatan Kastam, Chaiyuth Kamkun berkata, unit peronda kastam menemukan 60,000 liter diesel dalam tangki yang diubahsuai dalam kapal tersebut sementara 80,000 liter lagi ditemukan dalam sebuah lagi kapal pada tengah malam kelmarin di perairan Thailand.

"Sembilan kru, semuanya warga tempatan ditahan untuk siasatan. Harga diesel yang lebih murah di negara jiran mendorong aktiviti penyeludupan ke Thailand," katanya.

Sementara itu, Komander Biro Penyiasatan dan Pencegahan Kawasan 1 Jabatan Kastam, Thanathouch Sirisuwan berkata, siasatan menunjukkan sebuah kapal memindahkan diesel yang diseludup ke dua kapal tempatan di perairan antarabangsa.

"Harga diesel di perairan antarabangsa ialah antara 16 hingga 17 baht.

"Diesel yang diseludup itu akan dijual kepada pembeli berpotensi dengan harga 3 hingga 4 baht lebih murah daripada harga pasaran di sini," katanya.

Beliau menambah bahawa sukar untuk menentukan keasalan diesel tersebut.

Harga diesel di Thailand adalah 27.29 baht (RM3.60) seliter bagi Ultraforce Diesel dan 30.89 baht (RM4.06) seliter untuk Ultraforce Premium Diesel. Harga diesel di Malaysia ialah RM2.18.

Sejak Oktober tahun lepas, Jabatan Kastam Thailand merampas 700,000 diesel, bernilai kira-kira 20 juta baht. – BERNAMA