Perkara itu didedahkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Plan International yang akan memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai nasib kanak-kanak berkenaan khususnya etnik Rohingya di Myanmar selain konflik di Chad dan Sudan Selatan.

Butiran penyelidikan itu me­rangkumi perkahwinan paksa, penculikan, keganasan, pende­raan seksual, perhambaan dan kekurangan dalam peluang pendidikan.

Dalam kem pelarian yang padat di Uganda, NGO itu me­nemu bual 249 kanak-kanak dan remaja perempuan berusia 10 hingga 19 tahun dari Sudan Selatan yang menggambarkan kekerapan keganasan menjadi norma di dalam rumah dan masyarakatnya.

“Ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana konflik di Sudan Selatan berkisar kekejaman meluas, termasuk tahap keganasan melampau terhadap wanita dan kanak-kanak,” jelas laporan itu.

NGO itu menambah bahawa seorang remaja daripada empat remaja merancang untuk membunuh diri, sekurang-kurang­nya sekali pada tahun sebelum kajian itu dijalankan.

Selain itu, 77 peratus daripada mereka juga berkata tidak mempunyai cukup makanan untuk dimakan.

Di Chad Basin, pertubuhan itu menggambarkan sebagai salah satu daripada krisis kemanusiaan paling serius di dunia kerana satu daripada tiga remaja berkata, mereka tidak merasa selamat di rumah, dipukul dan mengalami penderaan seksual.

Dalam perkembangan sama, kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di Cox’s Bazar juga tidak mendapat pendidikan.

Hampir dua pertiga tidak bersekolah dengan pelbagai alasan termasuk kelaparan, dipukul, dirogol, diculik dan pelacuran paksa. – AFP