Difahamkan berpuluh-puluh ribu kanak-kanak di seluruh dunia kini meletakkan diri mereka dalam bahaya dan usaha dunia untuk memperjuangkan nasib kanak-kanak itu menghadapi kekangan kewangan.

Pada 2015, kurang daripada satu peratus bantuan antarabangsa yang berjumlah AS$174 bilion (RM692.6 bilion) digunakan untuk mena­ngani isu ber­kenaan.

Kanak-kanak lelaki dan pe­rempuan seawal usia tujuh tahun dikerah bekerja dalam pasukan tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak bersenjata.

Malah mereka diletakkan di barisan hadapan di kawasan konflik, melaksanakan serangan bunuh diri, pengintip, peninjau atau pemberi maklumat.

Kanak-kanak perempuan di­paksa sebagai hamba seks, kebanyakannya diculik atau direkrut oleh tentera manakala yang lain terpaksa menyertai kumpulan bersenjata kerana percaya tindakan itu adalah ke­putusan terbaik untuk kelangsungan hidup.

Walaupun terdapat perkembangan berikutan pem­bebasan sekurang-kurangnya 5,000 tentera kanak-kanak pada tahun lalu seperti di Republik Demokratik Congo namun ma­salah itu masih berleluasa.

PBB telah menyenaraikan 14 negara antaranya Yemen, Syria, Somalia, Sudan Selatan, Iraq dan Myanmar sebagai negara yang masih ‘degil’ dalam isu berkenaan walaupun sebanyak 167 negara telah menandata­ngani perjanjian antarabangsa yang mengharamkan ‘kerahan tenaga’ kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Menurut PBB, Myanmar tidak mengotakan janjinya yang dibuat pada 2012 untuk menamatkan tentera kanak-kanak malah jumlah kanak-kanak yang direkrut semakin meningkat.

Tentera negara itu dan kumpulan militan sejak bertahun-tahun lalu menggunakan kanak-kanak sebagai askar untuk berperang di kawasan konflik di sempadan Myanmar.

Wakil khas PBB bagi isu kanak-kanak, Virginia Gamba berkata, pihak tentera tidak menyertakan bukti yang mereka telah membebaskan kanak-kanak berkenaan sebaliknya se­ring melengah-lengah­kan jawapan terhadap isu tersebut.

Katanya, ramai kanak-kanak telah direkrut dan dihantar ke kawasan terpencil dekat sempadan Myanmar-China yang baru-baru ini menyaksikan per­tempuran antara kumpulan pem­berontak dengan tentera yang menyebabkan beribu-ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Di Yemen lebih 1,476 kanak-kanak lelaki direkrut sebagai anggota tentera dan jumlah itu semakin meningkat malah mereka turut diletakkan di barisan hadapan di kawasan yang dilanda konflik.

Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Ravina Shamdasani berkata, kebanyakan keluarga kanak-kanak terlibat enggan mence­ritakan perihal anak mereka yang telah direkrut sebagai tentera kerana bimbang tindakan balas dendam.

Kata Ravina, pihaknya telah menerima banyak laporan tentang kanak-kanak yang dikerah sebagai tentera di kawasan konflik kebanyakannya oleh Ja­watankuasa Popular yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Houthi.

Dalam pada itu John, 15, yang berasal dari Yambio, Sudan Selatan berkata, dia dikerah sebagai anggota tentera selepas ditangkap oleh Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Sudan Selatan ketika berjalan ke sebuah taman.

“Mereka akan mencari kamu jika meloloskan diri dan mereka akan membawa kamu kembali ke dalam hutan,” katanya yang merupakan antara 700 tentera kanak-kanak dalam pergerakan itu.

Seorang lagi kanak-kanak, Sarah, 13, dipaksa menyertai kumpulan militan selepas mereka mengugut untuk membunuh­nya.

“Saya sedang berkebun dan melihat mereka da­tang lantas saya melarikan diri namun saya terpaksa berhenti selepas mereka mengancam untuk menembak saya,” katanya.

Baru-baru ini lebih 300 tentera kanak-kanak telah dibebaskan oleh kumpulan bersenjata di negara tersebut iaitu jumlah kedua terbesar sejak perang saudara tercetus lima tahun lalu.

Mereka terdiri daripada 87 kanak-kanak perempuan dan 224 kanak-kanak lelaki namun semua kumpulan yang berbalah telah merekrut lebih 19,000 kanak-kanak sebagai tentera.

Menurut wakil Tabung Ka­nak-Kanak Pertubuhan Bangsa­-Bang­sa Bersatu (Unicef), Mahom­bo Mdoe, kebanyakan kanak-kanak yang dibebaskan tidak mengetahui di mana keluarga mereka.

Katanya, cabaran utama pihaknya adalah untuk me­nyatukan semula mereka de­ngan keluarga dan usaha ini akan mengambil masa dua atau tiga tahun terutama bagi kanak-kanak terbabit yang merasakan peperangan adalah salah satu cara hidup.

Walaupun ramai kanak-kanak terbabit tidak mahu kembali ke medan perang namun mereka bimbang tentang masa depan masing-masing selain takut dipaksa kembali untuk berperang.