BBC memetik sumber berkata, ketika persembahan berlangsung, Jong-un juga dilihat bertepuk tangan dan berjumpa dengan kesemua artis dan pemuzik di belakang pentas serta mengambil gambar bersama me­reka.

Kesemua mereka adalah de­le­­gasi pemuzik pertama yang berkunjung ke negara itu dalam tempoh lebih sedekad selepas kedua-dua negara di Semenanjung Korea itu bersiap sedia untuk mengadakan pertemuan.

Lebih daripada 11 artis membuat persembahan dalam dua pertunjukan di Pyongyang.

Agensi Korea Selatan berkata, konsert bertemakan Musim Bunga Menjelma itu berlangsung pada malam tadi di Teater Utama Timur Pyongyang yang memuatkan 1,500 penonton.

Delegasi ahli muzik dianggotai artis K-pop, rock dan genre lain dijadualkan membuat persembahan sekali lagi esok.

Sebelum ini, Jong-un dilihat konservatif dan menolak sebarang bentuk hiburan dari negara jirannya itu.

Sementara itu, agensi rasmi Korea Selatan, Yonhap melaporkan, Jong-un adalah pemimpin pertama yang menghadiri pertunjukan kelompok artis dari Korea Selatan.

Adiknya, Kim Yo-jong dan Ke­tua Negara, Kim Yong-nam turut dilaporkan hadir.

“Jong-un juga dilihat me­nun­jukkan minat terhadap per­sembahan itu dan bertanyakan soalan tentang lagu dan lirik,” kata Menteri Kebudayaan Korea Selatan, Do Jong-hwan kepada Reuters.

Sebelum ini, rakyat Korea Uta­ra juga menyaksikan persembahan skuad taekwondo Korea Selatan tetapi tanpa kehadiran Jong-un.