Jakarta Post melaporkan, selepas hampir setahun ‘berjuang’ mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden, Jokowi akhirnya menunjukkan kesedia­an beliau untuk ‘menjemput’ Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) menyertai kerajaan pakatan pimpinannya.

Menerusi ucapan selepas pengumuman rasmi Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengenai pelantikan beliau sebagai Pre­siden Indonesia, Jokowi sekali lagi memberi petunjuk bahawa beliau sudi berbaik-baik dengan pihak lawannya.

“Saya menjemput Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno untuk bekerjasama membangunkan negara ini. Saya yakin mereka berdua adalah antara pemimpin yang mahu melihat Indonesia menjadi lebih kukuh, memba­ngun dan sejahtera,” katanya.

Ditanya adakah beliau menjemput kedua-dua ahli politik itu supaya menyertai kerajaannya, Jokowi memberitahu, beliau bersikap terbuka untuk mengajak sesiapa sahaja bagi bersama-sama membangunkan Indonesia.

Lima parti menyokong Jokowi ketika pilihan raya Presiden (Pilpres) yang lalu termasuk Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Parti Golongan Karyawan (Golkar), Parti Nasdem, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Persatuan Pembangunan (PPP).

Tiga parti pakatan pembangkang iaitu Gerindra, Parti Demokratik dan Parti Amanah Nasional (PAN) turut menyatakan bahawa mereka akan memikirkan kemungkinan menyer­tai parti pemerintah bagi mendapatkan peluang meraih kerusi dalam Kabinet.

Dalam pada itu, Jokowi mene­gaskan, beliau tidak akan membeza-bezakan latar belakang profesional atau parti politik dalam menyusun Kabinet pentadbiran bagi penggal 2019-2024.

“Kabinet akan disertai oleh semua pihak yang mempu­nyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Saya tidak akan membeza-bezakan sebarang parti mahupun latar belakang kerana ketika ini, banyak ahli politik profesional dalam kerja masing-masing.

“Apa yang penting, setiap kementerian diisi dengan pihak yang sewajarnya bagi membolehkan mereka memahami permasalahan yang berlaku, sekali gus menyelesaikannya,” tambahnya.

Jelas Jokowi, susunan Kabinet pimpinannya masih dibahaskan dengan Pakatan Indonesia Kerja.