Keputusan itu menyaksikan Jokowi mempertahankan jawatan selaku Presiden Indonesia untuk penggal kedua.

BBC melaporkan, pengumuman dibuat KPU pada awal pagi ini selepas menyelesaikan kiraan undi di 34 wilayah dan 130 panitia pemilihan luar negara (PPLN).

Ketua KPU, Arief Budiman berkata, jumlah kiraan undi sah adalah sebanyak 154,257,601 dan kiraan undi yang diperoleh Jokowi-Ma’ruf berjumlah 85,607,362 atau 55.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Jumlah kiraan undi bagi Prabowo dan Sandiaga pula adalah sebanyak 68,650,239 atau 44.5 peratus.

Dalam tempoh tiga hari selepas pengumuman rasmi dibuat, sekiranya ada bantahan daripada mana-mana pihak, perkara tersebut perlu diajukan ke Mahkamah Perlembagaan.

Namun, jika tiada sebarang bantahan, KPU akan menetapkan gandingan Presiden serta Naib Presiden yang sudah di­pilih menerusi Pilpres.

REAKSI JOKOWI

Agensi berita Antara me­laporkan, Jokowi secara ringkas menyatakan keinginan untuk terus bersahabat dan mewujudkan hubungan baik dengan Prabowo serta Sandiaga.

“Yang jelas kita ingin te­rus bersahabat dengan Pak Prabowo, Pak Sandiaga dan seluruh pendukung yang ada,” katanya setelah menyampaikan pidato kemenangan bersama Ma’ruf di Kampung Deret, Jakarta Pusat di sini.

REAKSI KUBU PRABOWO-SANDIAGA

Prabawo dan Sandiaga sehingga kini belum menyerah kalah biarpun keputusan rasmi sudah diumumkan.

Jurucakap Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Ferry Juliantono berkata, mereka mempunyai hak untuk meng­ajukan bantahan kepada Mahkamah Perlembagaan.

Namun katanya, perkara itu akan ditentukan oleh Prabowo dan Sandiaga sendiri.

Prabowo sebelum ini menolak keputusan Pilpres kerana beliau mendakwa berlaku ba­nyak penipuan sepanjang pro­ses kempen sehingga hari pe­ngundian berlangsung.

Badan Pemenangan Nasional (BPN) menyatakan akan mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Perlembagaan.

PENGUMUMAN SEBELUM PROTES

Keputusan rasmi dikeluarkan sehari lebih awal berban­ding tarikh yang ditetapkan iaitu esok, 22 Mei.

Pesuruhjaya KPU, Hasyim Asy’ari menegaskan, pengumuman yang dibuat hari ini tiada kaitan dengan rancangan tunjuk perasaan.

“KPU tidak mudah terpe­ngaruh dengan hal-hal seperti itu dan kami memutuskan untuk membuat pengumuman lebih awal kerana ingin memudahkan semua tugas berkaitan. Tiada kaitan dengan ancaman tunjuk perasaan.

“Berdasarkan undang-undang pilihan raya, keputusan perlu diumumkan paling lewat 35 hari selepas proses pengundian bermula,” katanya.

Namun, pengumuman awal itu mengejutkan kubu Prabowo-Sandiaga kerana jelas jurucakap Parti Gerindra, masih terdapat sejumlah perkara yang perlu disampaikan kepada Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu).

JOKOWI-MA’RUF UNGGULI 21 WILAYAH

Jokowi dan Ma’ruf meraih kemenangan di 21 wilayah termasuk Kalimantan Tengah, Gorontalo, Kalimantan Utara, Kalimantan Barat, Bangka Belitung, Bali, Sulawesi Barat, Yogyakarta, Kalimantan Timur dan Lampung.

Mereka juga mengungguli undian di Sulawesi Utara, Sulawesi Tengah, Jawa Timur, Nusa Tenggara Timur, Jawa Tengah, Kepulauan Riau, Papua Barat, Jakarta, Suma­tera Utara, Maluku dan Papua.

Sebanyak 13 wilayah lain menjadi milik Prabowo dan Sandiaga termasuk di Sumatera Barat, Sumatera Selatan, Aceh dan Sulawesi Tenggara.

SIAP-SIAGA HADAPI PROTES

Dalam pada itu, Ketua Biro Penerangan Awam, Divisyen Perhubungan Awam Polis Indonesia, Brigedier Jeneral Dedi Prasetyo berkata, kawalan ke­selamatan di semua bahagian di Jakarta giat ditingkatkan terutamanya di ibu pejabat KPU.

“Pemantauan dan kawalan sudah mula digiatkan sejak semalam selepas KPU membuat keputusan untuk mengumumkan keputusan Pilpres awal,” katanya.

Kawat berduri dan pagar halangan digunakan untuk menutup akses ke bangunan KPU dan Bawaslu yang mula dipenuhi penunjuk perasaan.