Pemangku Menteri Pengangkutan, Christian Schmidt mengesahkan, pihaknya telah  meminta syarikat BMW, Volkswagen dan Daimler tampil untuk menjelaskan mengenai tindakan itu.

“Kami amat mengutuk ujian ekzos. Tindakan ini sekali lagi telah merosakkan kepercayaan dalam industri automotif,” katanya.

Semalam, akhbar Sueddeutsche dan Stuttgarter Zeitung melaporkan bahawa kumpulan penyelidikan yang dibiayai oleh Volkswagen, Daimler dan BMW telah mengukur kesan sedutan gas nitrogen oksida pada 25 manusia yang sihat di hospital universiti Jerman.

Laporan itu dikeluarkan beberapa hari selepas akhbar New York Times menulis bahawa organisasi yang sama telah menjalankan ujian pada monyet di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2014.

Menurut artikel itu, para penyelidik bertindak mengunci 10 ekor monyet di dalam bilik kedap udara dan membiarkan mereka bernafas dalam ekzos diesel dari kenderaan jenis VW Beetle sambil menonton racangan kartun.-AFP