TOKYO 5 Sept. - Taufan Jebi yang membadai Jepun semalam mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang maut di barat negara ini manakala syarikat lapangan terbang memindahkan kira-kira 3,000 orang yang terkandas di Lapangan Terbang Kansai dengan bot selepas bencana itu mengakibatkan lebih sejuta kediaman terputus bekalan elektrik.
Taufan Jebi dengan membawa angin kencang selaju 216 kilometer sejam dan merupakan taufan terkuat dalam tempoh 25 tahun di Jepun mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan kediaman di kawasan pembuatan sekitar Osaka.
Angin kencang turut menterbalikkan trak dan menghanyutkan kapal tangki seberat 2,500 tan hingga merempuh sebuah jambatan menuju ke lapangan terbang, gerbang antarabangsa utama rantau ini dan hab pengangkutan negara.
Kerosakan pada jambatan itu mengakibatkan pulau buatan menghubungkan lapangan terbang berkenaan terputus memaksa 3,000 pelawat dan kakitangan lapangan terbang bermalam di premis terbabit.
Landasan lapangan terbang itu turut ditenggelami air ketika ombak tinggi menghempas kemudahan berkenaan sehingga mengakibatkan bekalan elektrik terputus.
Menjelang tengah hari ini, ratusan pelawat telah dipindahkan ke Kobe menggunakan bot namun lebih 2,000 orang masih menunggu untuk diselamatkan.
Bagaimanapun masih belum ada petunjuk bila Lapangan Terbang Kansai yang mengendalikan lebih 400 penerbangan sehari akan dibuka semula.
“Kami terputus bekalan elektrik jadi tiada pendingin hawa dan keadaan agak panas.
“Saya tidak pernah menjangkakan tahap kerosakan ini akibat taufan,” kata seorang wanita kepada agensi penyiaran NHK.
Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga dalam pada itu berkata, angka kematian akibat taufan masih kekal 11 orang dengan beratus orang lagi cedera.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dalam tweet beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk memastikan lapangan terbang itu kembali beroperasi.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan lapangan terbang beroperasi semula,” katanya.
Abe berkata, sebanyak 2.4 juta isi rumah terputus bekalan elektrik akibat taufan dengan perkhidmatan kepada separuh daripada penduduk terjejas berjaya dipulihkan pagi ini.
Media tempatan melaporkan, lebih 1.2 juta penduduk dinasihatkan meninggalkan rumah mereka ketika Taufan Jebi menghampiri Kansai namun hanya 16,000 orang bermalam di pusat perlindungan. – AFP