Presiden China, Xi Jinping merasmikan upacara pembukaan jambatan tersebut di sini pagi ini.

Jambatan sepanjang 55 kilo­meter itu turut dilengkapi de­ngan terowong dasar laut yang menghubungkan Lantau di Hong Kong ke Zhuhai dan Macau merentasi muara Sungai Mutiara.

Binaan itu merupakan projek infrastruktur kedua terbesar yang menghubungkan Hong Kong dengan tanah besar China selepas pelancaran kereta api berkelajuan tinggi pada bulan lalu.

Para pengkritik menyatakan bahawa jambatan yang bernilai jutaan dolar itu merupakan satu daripada cara untuk ‘membawa masuk’ Hong Kong ke dalam China, selain wujud kebimbangan mengenai kebebasan di wilayah tersebut semakin terhakis.

Jambatan berkenaan dibina pada 2009, namun pembinaannya sering tertangguh susulan masalah kos, dakwaan kegiatan rasuah dan kematian sejumlah buruh yang terlibat.

Majlis pembukaan jamba­tan tersebut diumumkan oleh pihak berkuasa China pada minggu lalu, namun ahli politik Hong Kong serta beberapa syarikat pengangkutan di bandar berkenaan melahirkan rasa kecewa kerana mereka dianggap seolah-olah tiada kepentingan dalam perasmian struktur binaan baharu itu.

Beberapa pihak melihat jambatan tersebut sebagai usaha untuk memperkasakan sektor perniagaan dan menjimatkan masa perjalanan, namun ada juga yang menganggap pembinaannya berasaskan politik semata-mata.

Bahagian utama jambatan tersebut terletak dalam kawasan tanah besar China dan kesemua pemandu Hong Kong perlu mematuhi peraturan serta undang-undang China.

Penduduk Hong Kong ha­nya diluluskan lesen untuk masuk ke wilayah Zhuhai jika mempunyai kelayakan seperti meme­gang jawatan sebagai penjawat awam di China dan menjadi penyumbang besar dalam kebajikan di wilayah Guangdong. – AFP