“Ini adalah fakta mengenai setinggan di Jakarta. Kami bersama Bank Dunia mengenal pasti bahawa 118 daripada 267 sub daerah di Jakarta mempunyai kawasan setinggan,” jelas Pengarah Konsolidasi Tanah, Kementerian Perumahan dan Perancangan Tanah, Doni Janarto Widiantono seperti dilaporkan Jakarta Post.

Menurutnya, walaupun Jakarta memiliki banyak bangunan pencakar langit, pengagihan kegunaan tanah di bandar adalah tidak sama rata dan terdapat banyak penempatan di atas tanah yang terbiar.

“Keadaan ini berterusan di atas tanah yang tidak dikenali, seperti sungai berhampiran. Di situlah 50 peratus daripada kawasan setinggan terletak,” katanya.

Beliau menambah, pihak kementerian mencatatkan 39 peratus daripada kawasan se­tinggan terletak di Jakarta Utara; 28 peratus di Jakarta Barat; 19 peratus (Jakarta Selatan); 12 peratus (Jakarta Timur); 11 peratus (Jakarta Pusat) dan satu pe­ratus di Kepulauan Seribu.

Jelasnya, pihak kementerian juga sedang merangka cara untuk mengatur penggunaan tanah di kawasan kediaman tanpa berlakunya tindakan pengusiran.

“Kami akan menganjurkan kawasan kediaman secara sistematik,” katanya.

Baru-baru ini, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan melancarkan pasukan petugas reformasi perumahan melalui Dekri Gabenor No. 574/2019.

Pasukan berkenaan yang diketuai oleh Gabenor sendiri, ditugaskan untuk menangani konflik perumahan.

Januari lalu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla menca­tatkan jurang antara kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jusuf menggambarkan jalan utama di Jl. MH Thamrin di Jakarta Pusat kelihatan seperti Singapura manakala di Tanjung Priok, Jakarta Utara pula seperti Bangladesh.