Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), hartawan terkenal itu akan mendedahkan strategi penggantiannya esok tetapi kekal menjadi pengerusi syarikat berkenaan.

NYT menerusi laporannya pada Jumaat lalu, berdasarkan wawancara bersama Ma, menyatakan hartawan tersebut bercadang mengumumkan persaraannya ketika sambutan hari jadi ke-54 esok dan mahu fokus kepada kerja-kerja kebajikan.

Akhbar terbabit memetik kata-kata Ma sebagai berkata, keputusan itu adalah ‘permulaan era baharu’.

Walau bagaimanapun, jurucakap Alibaba memberitahu SCMP bahawa laporan NYT itu ‘lari daripada konteks dan salah dari segi fakta’.

“Seorang jurucakap Alibaba berkata Ma akan kekal menjadi pengerusi eksekutif dan bakal mendedahkan pelan peralihan untuk satu jangka masa tertentu,” lapor SCMP.

Tambah SCMP, strategi penggantian itu merupakan sebahagian rancangan bertujuan me­latih generasi eksekutif muda untuk mengambil alih syarikat tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap NYT, Eileen Murphy mempertahankan laporan akhbar ber­kenaan. – AFP