Kata laporan itu yang dipetik portal Middle East Monitor, kebanyakan mangsa mempu­nyai kecederaan yang teruk dan tidak dapat dipulihkan pada tulang, struktur neurovaskular dan tisu lembut mereka.

Ratusan daripada mangsa pula bakal kudung jika mereka tidak mempunyak akses kepada rawatan sepatutnya akibat kecederaan itu.

Langkah pemotongan anggota badan akan dilakukan sekiranya mereka tidak menerima rawatan perubatan secara intensif dan berterusan, selain i­ngin mengelak lebih banyak jangkitan kuman serius.

Selain itu, laporan WHO juga menyebut sebanyak tiga petugas perubatan terkorban setakat ini dalam pertempuran antara penunjuk perasaan Palestin dengan tentera Israel, manakala 700 lagi cedera.

Ribuan pembedahan juga terpaksa ditangguhkan apabila sistem kesihatan Gaza semakin kritikal dengan kekurangan bekalan ubat serta peralatan perubatan kronik.

Sejak tunjuk perasaan Great March of Return yang bermula pada Mac 2018, tentera Israel dilapor menembak mati kira-kira 277 penduduk Palestin terma­suk 52 kanak-kanak.

Kebanyakan mereka dibunuh dengan kejam walaupun tidak menggunakan sebarang senjata dalam perhimpunan di sempadan Gaza-Israel itu.

KANAK-KANAK PALESTIN SEDIH SAMBUT HARI BAPA

Dalam pada itu, ketua sebuah pertubuhan bukan kerajaan Turki, Naim Abu Riash berkata, sebanyak 9,914 penduduk Pa­lestin kehilangan nyawa dan 101,558 yang lain cedera dalam Intifada Palestin yang bermula sejak 28 September 2000.

Konflik itu menyaksikan ribuan kanak-kanak Palestin kehilangan ibu bapa, menjadikan mereka anak yatim piatu.

“Hari ini merupakan Hari Bapa di seluruh dunia, namun bukan semua kanak-kanak Palestin berpeluang meraikan sambutan itu kerana banyak di antara mereka sudah bergelar yatim piatu,” katanya dalam satu kenyataan.

ISRAEL LETAK SYARAT KEAMANAN GAZA

Dalam perkembangan lain, Hamas memaklumkan bahawa Israel mendesak pergerakan itu supaya menyerahkan dua mayat anggota tenteranya yang maut di Gaza pada 2014.

Zionis menyatakan bahawa sekiranya Hamas bersetuju menyerahkan mayat Oron Shaul dan Hadar Goldin, Israel akan ‘menawarkan situasi aman’ di Semenanjung Gaza.

Namun, menurut sumber, Hamas menolak desakan tersebut, selain pergerakan itu juga memaklumkan mereka menahan dua penduduk Israel.

Hamas dipercayai ‘menyembunyikan’ mayat askar Israel, Oron Shaul dan Hadar Goldin yang ditangkap pergerakan itu di Genting Gaza pada 2014 selain menahan penduduk Israel, Abera Mengistu dan Hisham al-Sayed.

TAHANAN PALESTIN LANCAR MOGOK LAPAR

Sementara itu, kira-kira 45 tahanan politik Palestin melancarkan mogok lapar di sebuah penjara Israel bermula hari ini selepas Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) menolak permohonan mereka untuk diberi kemudahan dalam penjara yang lebih selesa.

Menurut Ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Abu Baker, antara tuntutan tahanan politik itu adalah, diberikan masa lebih ketika waktu rehat harian, menghentikan serbuan pengawal penjara di sel-sel tahanan ketika waktu malam dan kemudahan lawatan oleh keluarga.

Selain itu, kumpulan tahanan tersebut juga memaklumkan bahawa layanan buruk terhadap mereka semakin menjadi-jadi sejak April lalu termasuk me­ngenakan denda untuk perkara yang tidak sepatutnya.

Setakat ini, terdapat lebih 6,000 penduduk Palestin dipenjara di beberapa penjara di Israel atas pelbagai kesalahan. – AGENSI