Press TV melaporkan, rejim Zionis meneruskan rancangan mereka dengan dasar merampas tanah serta pembinaan penempatan haram yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan resolusi Maj­lis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Menurut pihak memantau aktiviti penempatan haram Israel di Lembah Jordan, Mutaz Bisharat, rejim Zionis merampas sebanyak 51,000 dunam (5,100 hektar) tanah Palestin sekali gus mengasingkan lima kampung selain mengawal mata air, jentera pertanian termasuk sel solar.

Katanya, dasar Israel me­ngasingkan kampung-kampung di daerah Tubas dengan menegaskan kawasan itu sebagai lokasi ketenteraan dan melarang pemilik masuk kecuali dengan permit.

Tambahnya, Israel me­rancang untuk mengusir penduduk Palestin daripada kawasan itu dalam rancangan mereka merampas kawasan Lembah Jordan.

Sekurang-kurangnya 600,000 penduduk Israel tinggal di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak 1967 di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang dijajah mereka.

Sementara itu, memetik agensi berita Maan, tentera Israel bertindak merobohkan dua khemah warga Palestin di Kampung Susiya, semalam.

Koordinator dan jawatankuasa negara di selatan Hebron, Rateb al-Jbour memberitahu, tentera rejim itu menyerbu kampung sebelum merobohkan sebuah khemah yang didiami warga Palestin dan menempatkan kambing biri-biri.

“Tindakan Israel terhadap khemah dimiliki Radi Hussein al-Nawajaa yang mempunyai 10 ahli keluarga bertujuan menghalau orang Palestin meluaskan penempatan haram ‘Susiya’.

“Kampung ini terletak pada Kawasan C dengan lebih 60 peratus Tebing Barat di bawah kawalan penuh tentera Israel,” ujarnya. – AGENSI