Langkah itu dipercayai sebagai usaha terdesak Netanyahu yang mahu penggal pemerintahan beliau dilanjutkan menjelang pilihan raya umum Israel April ini.

SEKAT DANA

Israel memperoleh kira-kira AS$127 juta (RM516 juta) sebulan menerusi cukai kastam terhadap barangan untuk pasaran Palestin yang melalui pelabuhan Israel dan kemudiannya dipindahkan kepada PA.

Parlimen Israel, Knesset, tahun lalu meluluskan undang-undang menyekat sebahagian dana, sebagai tindak balas terhadap PA yang memberi sumbangan kepada keluarga penduduk Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Zionis.

“Menjelang akhir minggu ini, kerja-kerja melaksanakan undang-undang memotong gaji penduduk Palestin akan dimuktamadkan.

“Ahad depan, saya akan mempengerusikan mesyuarat keselamatan Kabinet dan kami bakal meluluskan keputusan untuk memotong dana terbabit. Dana tersebut akan dipotong menjelang awal minggu hadapan,” jelas Netanyahu, semalam.

Mayat Ori Ansbacher, 19, ditemukan di selatan Baitulmuqaddis pada Khamis lalu dan pembunuhnya, Arafat Irfaiya, 29, ditahan kelmarin.

PA BANTAH

Dalam pada itu, Menteri Hal Ehwal Awam Palestin, Hussein al-Sheikh, PA tidak akan bersetuju dengan tindakan Israel itu.

“PA akan menolak sebarang wang daripada Israel sekiranya mereka memotong satu sen dari­pada hasil perolehan,” katanya kepada AFP.

Namun Hussein tidak menyatakan langkah selanjutnya daripada PA.

TENTERA REJIM SERANG SEKOLAH

Dalam perkembangan berlainan, pentadbiran Sekolah Menengah Orif di perkampungan Orif, barat daya Tebing Barat, diarahkan untuk memindahkan pelajar selepas sekolah berkenaan diserang oleh tentera serta penduduk Israel.

Menurut aktivis tempatan, Ghassan Daghlas yang dipetik oleh agensi berita WAFA sebagai berkata, sejumlah penduduk Israel yang disokong oleh rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah sekolah terbabit.

Ghassan ditugaskan untuk memantau aktiviti penempatan haram di utara Tebing Barat.

GURU DIHALANG MENGAJAR

Selain itu, rejim Zionis juga mengenakan sekatan terhadap golongan guru ke kampung Beik Iksa, barat laut Baitulmuqaddis, bagi menghalang mereka ke sekolah.

Ujar Ketua Majlis Kampung Beik Iksa, Sa’ade al-Khatib, rejim Zionis melarang lima guru yang mengajar di Sekolah Menengah Perempuan Beit Iksa daripada memasuki kampung tersebut.

Menurut Sa’ade, Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi telah menghantar kesemua guru berkenaan untuk mengajar di sekolah lain di pekan Biddo, utara Baitulmuqaddis untuk hari ini.