Rangkaian yang baru digunakan itu membolehkan semua pesawat dapat dijejaki dalam masa nyata oleh pengawal trafik udara sepanjang masa.

Portal Daily Mail melaporkan, sistem tersebut dapat meng­akhiri misteri penerbangan tragis seperti yang berlaku kepada pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang pada Mac 2014.

Projek terbaru dikenali sebagai Iridium NEXT, melancarkan 10 satelit terakhirnya ke angkasa lepas pada Jumaat lalu menggunakan roket Space X Falcon 9.

Sebanyak 75 satelit kini meng­orbit sekitar Bumi dan boleh menjejaki semua pesawat dalam masa sebenar menjelang tahun depan.

Sistem itu akan memberi pe­ngawal trafik udara dan penerbangan masa nyata pesawat untuk kali pertama.

Syarikat Iridium menyifatkan rangkaian itu sebagai ‘satu-sa­tunya rangkaian komunikasi de­ngan liputan meluas ke seluruh dunia’.

Pada masa ini, pesawat dikesan oleh radar melalui sistem kawalan lalu lintas udara yang bergantung kepada transmisi daripada kotak hitam di kokpit yang dihantar setiap 10 hingga 15 minit.

Dalam kes pesawat MH370, ko­tak hitam tidak ditemukan, sebahagiannya kerana tiada yang pasti di mana pesawat itu ‘terhempas’.

Ketua Pegawai Eksekutif Iridium, Matt Desch berkata, dengan sistem itu, setiap pesawat dapat dikesan oleh pengawal trafik udara.

“Jadi tidak kira apa yang berlaku, mereka akan dapat mengesannya dalam tempoh bebe­rapa saat,” katanya.