Khamenei menegaskan se­mua umat Islam wajib menyokong penentangan yang dilakukan rakyat Palestin terhadap Israel dan Teheran berjanji untuk terus menyokong pergerakan Hamas.

“Tindakan berunding de­ngan rejim yang menipu, berbohong dan menindas (Israel) adalah kesilapan yang besar dan perbuatan yang tidak boleh dimaafkan dan menafikan kemenangan terhadap rakyat Pa­lestin,” kata Khamenei tanpa merujuk kenyataannya kepada Arab Saudi.

Baru-baru ini, Putera Mah­kota Arab Saudi, Mohammed Salman membuat ken­yataan bahawa Israel berhak untuk tinggal secara aman di tanah mereka.

Selepas kenyataan Mohammed, bapanya, Raja Salman Abdulaziz pula mengulangi sokongan Arab Saudi ke arah mewujudkan sebuah negara Palestin.

Riyadh telah lama berpendirian bahawa tindakan untuk mengekalkan hubungan de­ngan Israel bergantung kepada pengunduran Tel Aviv dari tanah Arab yang dirampas pada 1967 semasa perang Asia Barat, untuk dijadikan negara merdeka Palestin.

Arab Saudi, bagaimanapun dilaporkan membuka ruang udaranya buat pertama kali kepada penerbangan komersial Israel pada bulan lepas dan pada November lalu, ahli Kabinet Isreal mendakwa wujud hubungan sulit antara kedua-dua negara tetapi dinafikan Arab Saudi.

Kenyataan Khamenei itu adalah sebagai membalas surat yang diterima daripada Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang mengkritik sokongan kerajaan Arab di rantau berkenaan kepada Amerika Syarikat (AS).

Dalam konflik terbaharu Israel-Palestin, sekurang-ku­rang­nya 17 penduduk Pa­lestin terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan rejim Zionis di sempadan Gaza.

Khamenei dalam kenyataannya menyeru penduduk negara-negara Islam untuk menewaskan Israel.

“Melalui perjuangan sengit dan terancang, mereka (penduduk negara Islam) harus memaksa musuh berundur sehinggalah mereka mati,” kata­nya.

Dalam perkembangan lain, sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel hari ini melancarkan kempen menggesa tentera Israel supaya ingkar arahan pihak berkuasa dengan ti­dak menembak pen­­duduk Palestin yang tidak bersenjata.

Kempen oleh pertubuhan bukan kerajaan B’Tselem itu turut memasukkan iklan dalam akhbar Israel sehingga mendorong kementerian ke­selamatan awam Israel mencadangkan kumpulan terbabit disiasat kerana menghasut.

Antara kempen B’Tselem dalam iklan itu adalah: “Maaf komander, Saya tidak boleh menembak.”

“Tentera, peraturan pepe­rangan yang boleh menyebabkan kematian penduduk awam yang tidak berbahaya kepada manusia adalah haram,” kata pertubuhan itu.

Sementara itu, seorang penduduk Palestin terbunuh dalam satu serangan udara tentera Israel di sempadan Gaza hari ini ketika ketega­ngan me­ningkat ekoran protes yang dijangka diadakan semula Jumaat ini.– REUTERS/AFP