JAKARTA 12 Feb. - Kerajaan Indonesia mengarahkan syarikat perkhidmatan mesej untuk memadamkan ikon atau emoji berunsur homoseksual dalam aplikasi masing-masing.
Menurut portal The Guardian, langkah tersebut diambil oleh Jakarta susulan bantahan yang disuarakan pengguna media sosial terhadap aplikasi pesanan ringkas, Line yang mempromosikan emoji bertemakan homoseksual.
Selain Line, media sosial lain termasuk Twitter, Facebook dan WhatsApp turut dikritik kerana mengandungi unsur-unsur homoseksual.
Ekoran banyak aduan pengguna dari negara ini terhadap ikon tersebut, syarikat Line akur dengan permintaan kerajaan Indonesia untuk memadamkan semua emoji berunsur homoseksual pada Selasa lalu.
Jurucakap Kementerian Komunikasi Indonesia, Ismail Cawidu berkata, arahan yang sama turut diberikan kepada tiga lagi syarikat iaitu Twitter, Facebook, dan WhatsApp supaya memastikan aplikasi mereka bebas daripada unsur negatif.
“Media sosial perlu menghormati budaya dan pandangan Indonesia yang mempunyai ramai pengguna,” katanya.
Januari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Muhammad Nasir berkata, pelajar yang mengamalkan gaya kehidupan songsang perlu diharamkan daripada memasuki universiti di Indonesia.
Meskipun kenyataan Nasir mengundang kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia, tetapi menteri tersebut masih mendapat sokongan Majlis Ulama Indonesia, sebuah pertubuhan berpengaruh di negara ini.