Menurut polis, insiden bermula apabila seorang penumpang mengadu terhidu bau yang amat busuk daripada stokin dan kasut yang dipakai lelaki tersebut.

Suspek kemudian membuka kasut dan stokinnya sebelum meletakkan barang berkenaan berhampiran lorong tengah antara penumpang dalam bas terbabit sehingga menyebabkan penumpang lain pula marah dan terjadinya pergaduhan.

Berikutan itu, pemandu bas tersebut terpaksa menghentikan bas yang dipandunya berhampiran sebuah balai polis di Una, sebuah daerah di Himachal Pradesh.

Ketua polis Una, Sanjeev Gandhi memberitahu, bas itu berhenti beberapa kali sebelum sampai ke balai polis disebabkan bau yang amat busuk.

“Lelaki itu kemudian ditahan atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam sebelum dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

Difahamkan, suspek turut memfailkan tuduhan balas terhadap penumpang serta pemandu bas itu kerana mendakwa mereka sengaja menimbulkan kekecohan sedangkan stokin yang dipakainya tidak berbau busuk. -AFP