Al-Jazeera melaporkan, langkah itu bermula kelmarin di tengah-tengah ketegangan antara India dan Pakistan berikutan serangan bom bunuh diri yang meragut sekurang-kurangnya 42 tentera India mati di daerah Pulwama, selatan Kashmir, baru-baru ini.

India menyalahkan Pakistan berhubung serangan tersebut dan berjanji memberikan tindak balas tegas.

Polis India berkata, mereka menahan pemimpin dan aktivitis kebanyakannya daripada kumpulan politik Jamaat-e-Islami (JeI) yang menuntut hak autonomi di Kashmir.

Malah serbuan dan penangkapan penduduk berterusan sehingga semalam.

Antara yang ditahan ialah ketua serantau Jamaat-e-Islami, Abdul Hamid Fayaz dan ketua pro-kemerdekaan berpengaruh, Mohammed Yasin Malik.

Mohammed Yasin yang mengetuai Barisan Pembebasan Jammu-Kashmir ditahan di rumahnya lewat malam kelmarin di bandar utama Srinagar.

Penahanan itu mengakibatkan banyak kedai dan perniagaan ditutup semalam sebagai bantahan kepada tindakan kekerasan tersebut.

TIDAK SAH, PAKSAAN

Penangkapan tersebut me­ngundang kritikan yang meluas daripada pemimpin politik Kashmir.

Bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Mehbooba Mufti dalam akaun Twitter miliknya berkata, tindakan terbaharu New Delhi itu hanya akan menimbulkan masalah.

“Gagal untuk memahami langkah sewenang-wenangnya itu hanya akan menimbulkan masalah, anda boleh memenjarakan seseorang tetapi bukan i­deanya,” kata Mehbooba.

“Tindakan menyalahi undang-undang dan paksaan terhadap penduduk Kashmir adalah sia-sia dan tidak mengubah realiti,” tegas pemimpin pemisah berpengaruh, Mirwaiz Umar Farooq.

Kepemimpinan penentangan bersama yang terdiri daripada tiga pemimpin Kashmir termasuk Mohammed Yasin dalam satu kenya­taan mengesa tunjuk perasaan diadakan bagi membantah tindakan tersebut.

Pihak berkuasa India, semalam menghantar kira-kira 10,000 tentera tambahan ke lembah Kashmir sekali gus menjadikannya wilayah paling ramai tentera di dunia.

Penduduk bimbang tindakan kekerasan tersebut akan menjadi permulaan kepada serangan ketenteraan India terhadap Pakistan atau penambahan status khas dalam Perlembagaan negara ini.

Isnin ini, Mahkamah Agung India dijangka membuat keputusan mengenai petisyen yang mencabar peruntukan khas memberi hak mengenai harta dan pekerjaan di wilayah tersebut.

PANIK DI KASHMIR

Dalam pada itu, penangkapan, kawalan ketat tentera dan ancaman kerajaan terhadap Pakistan mendorong pembelian panik barang api, ubat-ubatan dan makanan di rantau ini.

Orang ramai beratur di luar stesen minyak dan kedai runcit bagi membeli bahan keperluan sebagai simpanan mereka.

“Orang ramai membeli beras, minyak masak, telur dan keper­luan lain secara pukal. Kami sibuk dan bekalan sudah habis,” kata seorang peniaga di Rajbagh, Srinagar, Mohammad Amin Rather.

Selain itu, arahan kerajaan kepada pihak hospital untuk memastikan mereka mempunyai bekalan ubat-ubatan juga mencetuskan kebimbangan.

“Penduduk di lembah ini ter­utamanya di bandar dan pekan mengambil apa yang dikatakan atau dilakukan sebagai tanda akan timbul masalah besar,” kata bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah.

ISU PILIHAN RAYA

Kashmir dilihat mungkin menjadi isu utama dalam pilihan raya umum India yang akan berlangsung pada April atau Mei ini.

Ketegangan di Kashmir antara yang menjadi perhatian selain kebimbangan mengenai cara Perdana Menteri, Narendra Modi dan Parti Bharatiya Janata mengurus ekonomi negara dan isu seperti pendapatan ladang dan peluang pekerjaan yang rendah.

Modi menjanjikan memberi reaksi tegas susulan serangan Pulwama dan semalam beliau sekali lagi mengulangi hasratnya agar dalang ‘membayar harga yang tinggi’ atas kejadian tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengutuk gangguan terhadap Kashmir yang telah berlaku di pelbagai tempat di India sejak serangan itu.

“Perjuangan kami adalah untuk Kashmir, bukan terhadap penduduk.

“Penduduk Kashmir paling menderita kerana keganasan dan seluruh negara mesti menyokong mereka,” katanya. – AGENSI