BBC melaporkan, Trump sebelum ini mengulang kicau ‘Kami tidak akan lupa’ berserta video yang menunjukkan rakaman serangan pengganas pada 11 September 2001, di samping memetik sebahagian daripada ucapan Ilhan yang berbunyi ‘sesetengah orang melakukan sesuatu perkara’.

Ilhan, anggota Kongres dari Minnesota itu menyampaikan ucapan selama 20 minit kepada Majlis Hal Ehwal Islam AS (Cair) pada 23 Mac lalu.

Beliau dalam ucapan tersebut turut membincangkan isu berkaitan Islamofobia dan sera­ngan pengganas di dua buah masjid New Zealand.

“Inilah adalah satu kebenaran, terlalu lama kita hidup dengan ketidakpuasan sebagai warganegara kelas kedua dan secara jujurnya, saya bosan dengan keadaan itu dan saya yakin, majoriti komuniti Islam juga sudah penat dengan situasi itu.

“Cair ditubuhkan selepas insiden 11/9 kerana mereka menyedari ada sesetengah pihak melakukan sesuatu perkara dan kejadian itu menyaksikan kita semua sudah mula kehilangan akses dalam kebebasan sivil,” katanya.

Ucapan Ilhan itu disampaikan berserta rakaman video menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) dirempuh pesawat dan orang ramai lari bertempiaran.

Anggota parti Republikan mengecam Ilhan sebagai se­ngaja ‘memandang rendah’ terhadap serangan tersebut, namun ucapan ahli politik wanita itu mendapat sokongan daripada rakan-rakan sejawat Demokrat yang menyatakan bahawa ada pihak sengaja memperbesarkan isu terbabit.

Ahli-ahli Demokrat juga me­nuduh Trump sengaja ‘mencetuskan’ sentimen keganasan terhadap Ilhan dan umat Islam yang lain.

Ucapan Ilhan itu mula mendapat perhatian banyak pihak pada 9 April lalu apabila anggota Kong­res dari Republikan, Dan Crenshaw menyifatkan kenyataannya sebagai ‘sukar untuk dipercayai’.

Kemudian, media tempatan turut memainkan peranan apabila ‘mula membincangkan tentang ucapan Ilhan secara lebih mendalam’.

Pengerusi Jawatankuasa Ahli Republikan Kebangsaan, Ronna McDaniel turut menyifatkan Ilhan sebagai antiAmerika.

Sebagai tindak balas, Ilhan menyifatkan sesetengah kritikan tersebut sebagai ‘hasutan berbahaya umpama ugutan bunuh’.

Ilhan juga mendapat banyak sokongan daripada pengguna media sosial yang menggunakan tanda pagar #IStandWithIlhan.

Beliau sebelum ini juga pernah dituduh sebagai anti-Semitik berhubung kenyataan dibuatnya mengenai Israel dan pelobi pro-Israel sebelum dikecam hebat termasuk daripada parti Demokrat membuatkan Ilhan memohon maaf dan mengaku ‘sedang mendengar dan belajar’.

Ilhan memenangi kerusi perwakilan bagi negeri Minnesota pada November lalu, sekali gus menjadi dua wanita beragama Islam pertama yang pernah meng­anggotai Kongres.

Keluarga Ilhan tiba di AS sebagai pelarian dari Somalia dan beliau juga menjadi anggota Kongres pertama yang memakai hijab. – AGENSI