Selepas Trump gagal mengete­ngahkan langkah untuk membuka semula operasi beberapa agensi kerajaan yang ditutup, Demokrat dan Republikan telah berbincang dan mendesak agar pembiayaan tiga minggu diluluskan untuk me­lanjutkan perbincangan tentang keselamatan sempadan.

Jurucakap White House, Sarah Sanders berkata, langkah tersebut hanya akan berjaya jika bayaran awal diluluskan untuk membina tembok tersebut.

Namun, jurucakap kepada pemimpin Senat Demokrat, Chuck Schumer berkata, Demokrat teguh dengan pendirian untuk tidak menyokong apa-apa dana bagi membina tembok tersebut.

Trump, yang mengarahkan penutupan sementara membe­ritahu media bahawa AS tidak mempunyai pilihan selain membina tembok pemisah.

Jelasnya, jika tembok itu tidak dibina, keselamatan sempadan akan sentiasa berdepan risiko.

Pada masa yang sama, Trump menyuarakan sokongan bagi mana-mana persetujuan ‘munasabah’ yang diambil antara Ketua Senat Republikan, Mitch McConnell dan Schumer untuk menamatkan penutupan operasi kerajaan sementara.

McConnell pada Khamis lalu memberitahu perbincangan ma­sih diteruskan buat masa ini.

Sementara itu, pentadbiran Trump akan menghalang kemasukan pendatang di sepanjang persempadanan selatan AS dengan menangguh kemasukan pemohon suaka sehingga permohonan mereka dipertimbangkan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negara (DHS) berkata, polisi yang diumumkan Disember tahun lalu itu akan dilancar bermula di laluan sempadan Tijuana-San Ysidro sekitar San Diego. – afp/reuters