Perbincangan antara para pegawai berlangsung menjelang pertemuan pertama yang sangat diharap­kan.

White House mengesahkan Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un akan mengadakan pertemuan empat mata dengan hanya disertai oleh jurubahasa.

Trump akan meninggalkan Singapura pada petang esok.

Sementara itu, sidang kemuncak esok dijangka menyaksikan negara yang dipencilkan dunia akan mewujudkan satu hubungan baharu dengan Washington.

Ruangan editorial Rodong Sinmun memperlihatkan ko­men­nya yang nadanya tidak lagi bermusuhan dengan AS.

Manakala Trump sendiri mengatakan beliau merasakan sesuatu yang baik mampu dicapai daripada sidang kemuncak yang dinanti-nantikan.

Akhbar Korea Utara mengesahkan bahawa Jong-un berlepas ke Singapura bagi bersemuka dengan Trump dan satu hubungan baharu antara kedua-dua negara akan wujud untuk memenuhi tuntutan perubahan era baharu.

Kata laporan itu yang dipetik portal BBC, pertukaran pendapat dan pandangan yang meluas dan mendapat boleh dilakukan untuk mewujudkan kerajaan yang aman dan stabil di semenanjung Korea selain menyelesaikan masalah yang menjadi kebimbangan bersama termasuk isu untuk merealisasikan pelucutan senjata nuklear di semenanjung Korea.

Trump dan Jong-un tiba di negara ini semalam menjelang pertemuan empat mata pertama melibatkan kedua-dua pemimpin negara itu sejak Perang Korea 1950-1953.

Selama beberapa dekad, Amerika merupakan musuh ketat Korea Utara sehingga terdapat sebuah muzium anti-Amerika di Pyongyang.

Dalam versi bahasa Inggeris laporan Rodong Sinmun itu, persidangan terbabit dijual sebagai peluang untuk merealisasikan pelucutan senjata nuklear semenanjung Korea dan pelbagai isu kebimbangan bersama sebagaimana dikehendaki oleh era perubahan.

Era perubahan ini sangat penting dengan Pyongyang menghabiskan masa berdekad-dekad membangunkan senjata nuklear pada kos yang mahal dan Jong-un perlu memberitahu rakyatnya mengapa beliau sedia berunding.

Dalam perkembangan ber­kaitan, pegawai Amerika dan Korea Utara mengadakan rundingan di sini bagi mengecilkan jurang perbezaan sebelum pertemuan kedua-dua pe­mimpin mereka.

Perbincangan akan tertumpu kepada isu membina mekanisme pengawalan keamanan dan kekal di Semenanjung Korea, isu merea­lisasikan pelucutan senjata nuklear di semenanjung Korea dan isu-isu lain yang menjadi kebimbangan kedua-dua pihak.– AGENSI/REUTERS