Hadir dengan keputusan hitung cepat atau quick count, hasil undian dikatakan dapat diketahui dengan cepat pada hari yang sama Pemilu diadakan.

Namun, biarpun KPU menegaskan keputusan rasmi Pemilu akan hanya diumumkan secara rasmi mulai 25 April hingga 22 Mei ini, Prabowo Subianto dan tidak kurang Joko Widodo atau Jokowi, kedua-dua calon Pre­siden (Capres), bertindak meng­umumkan kemenangan masing-masing.

Prabowo dengan sujud syukurnya ‘mengklaim’ (mendakwa) sudah menjadi Presiden Indonesia dan kemenangannya adalah kemena­ngan rakyat.

Begitu juga dengan calon petahana (calon yang mempertahankan jawatannya selaku Pre­siden), Jokowi, yang menjelaskan sudah menerima ba­nyak ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin dunia atas kemenangan dalam pilihan raya Presiden (Pilpres).

“Tetapi kita tetap tunggu keputusan rasmi KPU,” katanya penuh tenang.

Berdasarkan hitung cepat Indikator, gandingan Jokowi bersama calon Wakil Presiden atau Cawapres (Naib Presiden), Ma’ruf Amin memperoleh 53.9 peratus berbanding gandi­ngan Prabowo dan Sandiaga Uno, 46.1 peratus.

Malah, hasil hitung cepat sembilan lagi lembaga survei turut meletakkan Jokowi-Ma’ruf di depan dengan memperoleh suara sekitar 53-55 peratus, unggul daripada gandingan lawannya Prabowo-Sandiaga dengan perolehan suara sekitar 44-46 peratus.

Melihat kepada hasil hitung cepat yang memihak kepada Jokowi-Ma’ruf, kubu Prabowo pantas menolak laporan tersebut.

Prabowo kemudiannya ‘meng­­klaim’ dan mengumumkan kemenangannya sebesar 62 peratus.

Pada Pilpres 2014, hasil hitung cepat daripada beberapa lembaga survei menunjukkan gandingan Jokowi-Jusuf Kalla unggul dengan perolehan 52-53 peratus dan angka itu mendekati hasil laporan rasmi KPU, 53.1 peratus.

Nampaknya hasil hitung cepat itu menambahkan lagi ‘kemarahan’ Prabowo apabila pada Jumaat lalu mengecam lembaga survei sebagai tidak boleh dipercayai dan mengatakan mereka harus berpindah ke Antartika supaya dapat ‘berbohong kepada penguin’.

Beliau jelas menolak sebila­ngan besar keputusan hitung cepat yang menyaksikan Jokowi dipilih kembali sebagai Presiden dengan margin selesa.

“Rakyat Indonesia tidak mempercayainya. Mungkin mereka boleh berpindah ke Antartika, boleh berbohong kepada penguin,” katanya di Jakarta.

Pelantikan rasmi Presiden dan Naib Presiden untuk tempoh 2019-2024 dijadualkan pada 20 Oktober ini.

Bagaimanapun, seakan-akan tidak bersabar dengan pengumuman rasmi KPU, hitung cepat menimbulkan persoalan sama ada perkara itu perlu dilakukan kerana hanya mewujudkan budaya ‘klaim mengklaim’ dan akhirnya saling tuduh menuduh melakukan penipuan.

Mungkin selepas ini ditiadakan proses hitung cepat, tunggu sahaja keputusan rasmi KPU. Selesai masalah.