Lapor al-Jazeera, pendirian itu ditegaskan dalam satu ucapan disiarkan secara langsung yang dipancarkan ke seluruh negara dari Oval Office, White House semalam.

Menurut Trump, situasi ketika ini disifatkan sebagai ‘krisis kemanusiaan, krisis hati dan jiwa’.

“Ini adalah pilihan antara be­tul atau salah, antara keadilan dan ketidakadilan,” tegas Trump.

Beliau menggesa agar Demokrat mengadakan rundi­ngan semula dengannya di White House dan adalah tidak bermoral sekiranya ‘ahli politik enggan berbuat apa-apa’.

PELOSI, SCHUMER BALAS KRITIKAN

Terdahulu, anggota tertinggi Demokrat iaitu Nancy Pelosi dan Chuck Schumer menolak usul Trump dan menyatakan beliau ‘telah merayu terhadap ketakutan, bukannya fakta’.

Tegas Pelosi, Trump ‘mesti berhenti menjadikan rakyat Amerika sebagai tebusan, berhenti mencetuskan krisis dan perlu kembali membuka kerajaan’.

Walaupun sudah beberapa kali Trump dan anggota parti Republikan mengadakan perbincangan dengan Demokrat berhubung isu terbabit, tetapi mereka masih gagal mencapai persetujuan bersama.

Krisis shutdown atau penutupan operasi kerajaan yang bermula sejak 22 Disember lalu, menjejaskan kira-kira 800,000 kakitangan Persekutuan di beberapa jabatan dan agensi.

Para pekerja dipaksa untuk mengambil cuti dan ada juga diarahkan bekerja tanpa gaji.

Krisis terbabit juga menjejaskan sistem imigresen, menyebabkan banyak kes mahkamah tertangguh dan meng­akibatkan pengambilan pekerja baharu menjadi sukar.

RAKYAT AMERIKA SALAHKAN TRUMP: TINJAUAN

Trump menyatakan tembok sempadan diperlukan bagi menyekat kebanjiran pendatang asing dan penyeludupan dadah di sepanjang sempadan.

Namun para pengkritik berpendapat risiko keselamatan yang dinyatakan oleh Trump itu adalah ‘berlebih-lebihan’ dan pentadbiran White House patut dipersalahkan kerana melaksanakan dasar ‘toleransi sifar’ terhadap imigresen.

Tinjauan Reuters/Ipsos yang disiarkan semalam mendapati, semakin ramai rakyat Amerika menyalahkan Trump kerana shutdown.

Tinjauan yang dijalankan dari 1 hingga 7 Januari lalu turut mendedahkan 51 peratus orang dewasa percaya Trump ‘sepatutnya paling dipersalahkan’ kerana shutdown.

Jumlah itu adalah bertambah sebanyak empat peratus berbanding tinjauan serupa dijalankan dari 21 hingga 25 Disember lepas.

Selain itu, 32 peratus lagi menyalahkan anggota Kongres Demokrat dan tujuh peratus me­nyalahkan Kongres Republikan.

Trump sebelum ini memberi amaran shutdown akan berterusan dalam jangka masa lebih panjang dan menyatakan beliau berkemungkinan bakal mengisytiharkan darurat bagi mendesak Kongres membina tembok terbabit.

Tetapi Trump tidak menyebut langsung berhubung darurat dalam ucapannya semalam. Sekiranya Trump meneruskan tindakannya mengisytiharkan darurat, beliau mungkin akan dicabar di mahkamah.

Trump dijangka melawat sempadan esok.

KOS BINA TEMBOK MAHAL

Demokrat menyalahkan Trump berikutan shutdown ber­kenaan. Mereka melihat kos pembinaan tembok sempadan adalah mahal dan tidak berkesan serta sebaliknya menyokong langkah keselamatan yang lain.

Beberapa jam selepas mengambil alih Dewan Perwakilan pada 3 Januari lalu, Demokrat meluluskan dua pakej undang-undang belanjawan yang bertujuan membuka semula operasi kerajaan.

Ini termasuk AS$1.3 bilion (RM5.4 bilion) untuk pagar sempadan dan AS$300 juta (RM1.2 bilion) untuk barangan keselamatan sempadan lain seperti teknologi serta kamera.

Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell enggan membawa sebarang undang-undang yang tidak ditandatangani oleh Trump ke proses pengundian setakat tahun ini.

McConnell berdepan tekanan memuncak dalam kalangan anggota partinya iaitu Republikan, terutamanya daripada ahli yang terdedah dengan pilihan raya semula pada 2020.

#TRUMPSHUTDOWN ‘MEWARNAI’ TWITTER

Dalam pada itu, beberapa anggota Kongres Demokrat menghentam Trump di Twitter kerana menyifatkan shutdown sebagai isu ‘krisis kemanusiaan’.

Anggota Perwakilan Demokrat yang baru dilantik, Ilhan Omar menulis kenyataan di Twitter: “Sebuah tembok tidak akan menyelesaikan krisis kemanusiaan. Sebuah tembok tidak akan membayar gaji 800,000 pekerja Persekutuan. Sebuah tembok tidak akan memecahkan sistem imigresen. Tunjukkan kepimpinan dan luluskan undang-undang Demokrat untuk membuka semu­la kerajaan. Berhenti menjadikan pekerja Persekutuan sebagai tebusan untuk tembok xenofobia”.

Rakan sejawatannya, Pramila Jayapal yang sering mengkritik dasar toleransi sifar Trump terhadap imigresen, menyalahkan Presiden itu kerana mencetuskan krisis dengan ‘mewujudkan #FamilySeparation, ‘penghantaran pulang’ dan ‘menyekat pencari suaka’.

“Tukar semula polisi tersebut, krisis selesai. Sementara itu, 800,000 ribu pekerja menderita kerana tembok tersebut. #TrumpShutdown,” tambah Jayapal.

Kerajaan AS telah tutup sepenuh dan sebahagian operasi sebanyak 21 kali sejak 1976. Jurang pembiayaan yang berterusan ketika ini terikat dengan rekod kedua terpanjang.