CNN Indonesia yang memetik Ketua bahagian Kecemasan dan Logistik, Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) daerah Karo, Natanail Perangin-angin sebagai berkata, antara mukim yang terjejas adalah Payung, Naman Teran dan Tiga Binanga yang terletak dalam jarak 20 ki­lometer (km).

Selain itu, tiupan angin kencang menghala arah tenggara turut menyebabkan daerah Berastagi diselubungi debu, namun tidak begitu tebal.

“Kami menjangkakan lebih banyak lagi kawasan yang akan terjejas,” katanya.

Natanail memberitahu, pasukan BPBD, Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis mengedarkan topeng muka kepada penduduk sekitar gunung berapi setinggi 9,460 meter dari permukaan laut itu.

Dalam pada itu, kata beliau, pasukan bomba menggunakan air daripada jentera pasukan untuk membersihkan beberapa lokasi yang diselubungi debu tebal.

Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk tempatan yang tinggal di kawasan gunung tersebut supaya sentiasa berwaspada.

“Jangan sesekali mempercayai sebarang maklumat yang datang dari sumber yang tidak sahih,” ujarnya.

Letusan ini turut merekodkan gegaran bermagnitud 120 milimeter kira-kira sembilan minit 17 saat.

Kejadian itu juga membentuk awan panas kira-kira 3.5 km ke tenggara dan tiga km ke selatan, selain bunyi letupan aktiviti gunung berapi kedengaran sehingga pos pemantauan Gunung Sinabung. – AGENSI