Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Umum Jawatankuasa Peralihan Aceh (KPA), Muzakir Manaf yang menegaskan cada­ngan tersebut berikutan dakwaan Indonesia akan dijajah pihak asing.

“Itulah yang kita bimbang, maka Aceh lebih baik mengikuti seperti Timor Leste. Kenapa tidak?,” soalnya yang juga Ketua Umum Parti Aceh ketika ditemu bual BBC Indonesia.

Sementara itu, bekas pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Marzuki AR memberitahu, cadangan referendum itu berikutan rasa tidak puas hati iaitu perkara-perkara disepakati dalam memorandum persefahaman (MoU) Helsinki bersama kerajaan tidak direalisasikan.

“Kedua, cadangan referendum muncul kerana calon Pre­siden yang disokong Parti Aceh tewas kerana perkara ‘kecura­ngan’.

“Ketika proses demokrasi yang berlakunya penipuan, tiada ketelusan yang kemudian tiada rasa keadilan. Ini membawa impak luar biasa kepada Aceh,” jelasnya yang merupakan Setiausaha Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo-Sandiaga Wilayah Aceh.

Beliau merujuk MoU antara pemerintah Indonesia dengan GAM yang ditandatangani di Helsinki, Finland pada 20015 sebagai landasan perdamaian.

“Hampir 90 peratus rakyat Aceh memilih Prabowo-Sandiaga. Ini harapannya bahawa ada perubahan berlaku di Aceh,” jelasnya.

Menurut Marzuki, jika perkara itu disusuli dengan kekerasan, itu sudah pasti dianggap membatalkan MoU berkenaan.

“Kalau referendum itu hak semua warga secara demokrasi untuk mengeluarkan pendapat,” tambahnya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Parti Aceh, Kamaruddin Abubakar berpendirian, refe­rendum tidak perlu diteruskan meskipun bersetuju perkara disepakati dalam MoU diselesaikan.