Kejadian tanah runtuh di kawasan air terjun itu terjadi selepas berlaku gempa bumi bersaiz melebihi 5 pada skala Richter yang menggegarkan Pulau Lombok, Indonesia, petang tadi.

Ketua Protokol dan Sekretariat Pemerintah Lombok Utara, Mujaddid Muhas dalam satu kenyataan berkata, terdapat 40 pengunjung sedang beriadah di kawasan berkenaan ketika kejadian.

“Setakat ini dua orang disahkan meninggal dunia, proses menyelamat dan evakuasi masih dilakukan,” katanya.

Gempa pertama bermagnitud 5.8 pada skala Richter berlaku pada pukul 2.07 petang waktu Indonesia Barat, berpusat di 24 kilometer timur laut Timur Lombok - Nusa Tenggara Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) Indonesia, ini disusuli dengan satu lagi gempa bermagnitud 5.2 pada skala Richter, berpusat di 7 kilometer barat laut Lombok Timur- Nusa Tenggara Barat, pukul 2.09 petang.

Gegaran gempa itu dirasakan di Lombok Utara, Lombok Tengah, Lombok Barat dan sehingga ke Denpasar, Pulau Bali.

Sementara itu seorang ejen pelancong di Mataram, Lombok yang dikenali sebagai Pak Arno berkata, pelancong Malaysia itu menginap di sebuah hotel di Mataram.

Beliau berkata, pihak berkuasa sedang melakukan evakuasi terhadap semua mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata, pihak kedutaan sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan berhubung kejadian itu.

“Beberapa orang (pelancong Malaysia) dilaporkan masih hilang,” katanya. - BERNAMA