Gempa bumi berukuran 5.8 magnitud melanda pantai timur laut pulau Mindanao pada pukul 4.42 pagi waktu tempatan pada kedalaman 11.8 kilometer, dengan pejabat seismologi Filipina merekodkan tujuh gegaran susulan kecil.

Ketua polis bandar Madrid, Leftenan Wilson Uanite berkata, beberapa pegawai di balai polis di bandar tersebut berhampiran pusat gempa itu, terpaksa berlindung di bawah meja bagi mengelak daripada terkena serpihan pintu kaca, almari kabinet dan televisyen yang jatuh ke lantai.

“Kami melihat penduduk berlari keluar dari rumah mereka. Beberapa kediaman juga mengalami kerosakan seperti keretakan dinding,” katanya.

Tambah beliau, pesakit di Hospital Daerah Madrid juga terpaksa dipindahkan selepas berlaku keretakan pada dinding konkrit bangunan. - AFP.