Penuntut berkenaan, Jayun Patel berkata, gelang itu dilengkapkan dengan alat yang memantau sebarang pergerakan dan mengesan perubahan pada tubuh pemakainya sebelum menghantar isyarat bahawa serangan sedang berlaku.

Isyarat itu akan memberi amaran kepada polis atau mana-mana pihak yang berada dalam senarai nama pemakai sebaik sahaja mengesan bahawa individu itu diganggu.

Gelang itu juga mengeluarkan bunyi yang kuat dan mengeluarkan cahaya merah untuk menakutkan penyerang atau menarik perhatian orang ramai yang berada berhampiran.

Selain Patel yang merupakan penuntut sarjana, penyelidik yang terlibat dalam membangunkan gelang tersebut ialah Profesor Madya, Dr. Ragib Hasan, lapor portal Daily Mail.

Menurut Dr. Ragib, penghasilan gelang itu diharap dapat melindungi pemakainya daripada serangan seksual yang sering berlaku di kampus kolej seperti di universiti berkenaan.

“Cabaran besar untuk me­nghalang serangan ialah mangsa lazimnya sukar untuk melepaskan diri bagi mendapatkan bantuan,” katanya.

Dr. Hasan berkata, gelang itu turut dilengkapi dengan Adafruit Circuit Playground, pengesan tekanan, Sistem Kedudukan Global (GPS) dan mikrofon.

Gelang berkenaan juga boleh mengesan sama ada pemakainya sedang dalam posisi berdiri atau baring.

Beliau menambah, jika pe­makainya dikesan berada dalam bahaya, gelang itu akan menghubungkannya kepada telefon pintar melalui Bluetooth dan segera menghantar mesej kepada pihak kecemasan selain maklumat tentang lokasi pemakai.

Gelang berkenaan kini masih lagi dalam bentuk prototaip dan dijangka dijual pada harga kurang daripada AS$40 (RM155).