Menurut laporan portal Mail Online, kejadian berkenaan berlaku pada 9 April lalu di kawasan kebun bunga ros di Kampung Liantang yang menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Tambah laporan itu, nahas berkenaan berlaku apabila remaja berusia 19 tahun yang tidak dikenali tersebut berdiri terlalu dekat dengan landasan ketika sebuah kereta api menghampiri dengan kelajuan tinggi.

Pengurus kebun terbabit yang hanya dikenali sebagai Dai berkata, remaja itu mahu mengambil gambar selfie berlatar belakangkan kereta api walaupun tindakannya mengundang bahaya.

Malah mangsa mengabaikan hon yang dibunyikan oleh pemandu kereta api tersebut serta tidak menghiraukan amaran beberapa pelancong lain.

Seorang lagi pelancong yang berada di lokasi sama sempat me­rakamkan gambar remaja ber­kenaan mengambil gambar selfie sebelum maut digilis kereta api.

Walaupun mangsa tidak berdiri di atas landasan, tetapi daya tarikan yang tercetus akibat kelajuan kereta api tersebut membuatkan wanita itu disedut ke bawah landasan.

Kejadian berkenaan bukan kali pertama berlaku di lokasi yang sama memandangkan tiada penghadang atau papan tanda amaran dipasang bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.