Financial Times (FT) yang memetik seorang aktivis, Aibota Geminhen sebagai berkata, etnik Kazakh masih di­letakkan di bawah pengawasan berterusan serta tidak dapat pulang ke rumah.

Katanya, beliau dimaklumkan ibu dan ibu saudaranya yang merupakan etnik Kazakh serta masih memiliki kerakyatan China sepatutnya dibebaskan dari kem tahanan Xinjiang, November lalu.

Kedua-duanya ditahan pada 2017 selepas melawat ke China setelah berhijrah ke Kazakhstan tiga tahun lalu.

Namun pihak berkuasa China menempatkan dua wanita tersebut, Kazira Mukai dan Paryda Mukai di bawah tahanan rumah di kediaman abang mereka di daerah Ili, Xinjiang.

Mereka dibenarkan untuk membuat panggilan telefon tetapi tidak boleh untuk keluar dari situ.

“Mereka juga hanya dibenarkan untuk menyebut perkataan sama iaitu saya sihat, kesihatan saya baik dan kerajaan kami bagus, Parti Komunis bagus.

“Mereka dilarang bercakap perkara lain, menafikan wujudnya kem pendidikan semula dan mereka kata semuanya baik-baik sahaja,” kata Geminhen.

Tiga lagi saudara Geminhen masih berada di pusat tahanan di negara ini.

Kementerian Luar Kazakhs­tan awal bulan ini dilapor mengadakan rundingan dengan China berhubung pembebasan kira-kira 2,000 penduduk etnik minoriti itu dari Xinjiang, namun mereka difahamkan perlu melucutkan kerakyatan sebelum boleh meninggalkan China.

Dalam pada itu, pengarah kumpulan pembela Kazakh Atajurt, Serikjan Bilash berkata, beliau khuatir China sebenarnya menipu dunia.

“Saya bimbang tahanan tidak dibenarkan untuk kembali ke Kazakhstan,” katanya.

Kumpulan Atajurt sebelum ini pernah merakamkan beratus pengakuan daripada saudara-mara tahanan etnik Kazakh.

Antara mereka yang tidak dapat pulang ke Kazakhstan ialah Razila Nurala, seorang graduan yang dibebaskan dari kem tahanan sejurus selepas FT melaporkan dia dipaksa bekerja di kilang tekstil Xinjiang.

Menurut ibunya, Kaliasgar Nurbak, Razila sebaliknya ditempatkan di rumah datuk dan neneknya di utara Xinjiang.

“Saya tanya, bagaimana keadaan awak, bila awak akan kembali. Dia tidak berani berkata apa-apa,” kata ibunya.

Selain itu, seorang wanita Kazakh China yang menghabiskan tempoh selama 18 bulan di kem tersebut memberitahu Atajurt, dia terpaksa menandatangani kontrak supaya tidak mendedahkan apa-apa maklumat berhubung kem tahanan terbabit selain dipaksa meninggalkan anak perempuannya di situ sebagai ‘penjamin’. – AGENSI