BELGRADE - Salji tebal mengakibatkan beberapa negara Eropah ‘lumpuh’ selain menyebabkan akses ke perkampungan di kawasan pergunungan terhalang ketika runtuhan salji merempuh sebuah hotel di Switzerland dan mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang, semalam.
Secara keseluruhannya, sekurang-kurangnya 21 kematian berkaitan cuaca dilaporkan berlaku di Eropah sejak 10 hari lalu.
SWITZERLAND
Pekerja Hotel Sentis, timur Switzerland bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pembersihan selepas runtuhan salji sepanjang 300 meter memecahkan tingkap hotel berkenaan, kelmarin mengakibatkan bilik-bilik hotel serta dewan makan dipenuhi salji.
Menurut polis tempatan, kira-kira tiga orang cedera dalam runtuhan salji di Schwaegalp itu.
Bulgaria
Pertubuhan Palang Merah Bulgaria memaklumkan, dua peluncur salji terbunuh dalam runtuhan salji di barat daya Gunung Pirin.
JERMAN
seorang pemandu jentera pembersihan salji terkorban selepas kenderaannya terbabas ke dalam sungai dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di hospital.
Selain itu, sebanyak 210 penerbangan di Lapangan Terbang Frankfurt dan Munich dibatalkan berikutan kebimbangan fenomena salji tebal.
ALBANIA
Seorang juruelektrik di Albania maut selepas diserang sakit jantung semasa membaiki kabel elektrik yang rosak.
Kira-kira 2,000 tentera dan pekerja kecemasan lain Albania dikerahkan untuk membantu orang ramai yang terperangkap disebabkan salji dan membersihkan jalan raya bagi memudahkan akses ke kawasan perkampungan.
AUSTRIA
Tentera berjaya menyelamatkan seramai 66 orang pelancong Jerman selepas mereka terperangkap selama beberapa hari di sebuah rumah tamu di kawasan pergunungan.
Kesemua taman, kawasan permainan dan tempat perkuburan ditutup semalam berikutan ancaman yang bakal dicetuskan oleh pokok yang rapuh ekoran salji tebal.
SERBIA
Stesen televisyen tempatan Serbia melaporkan, beberapa pekan dan bandar di barat daya negara berkenaan memperkenalkan langkah kecemasan selain memberi amaran salji tebal akan menyekat akses kawasan perkampungan di pergunungan dan jalan raya.
Kebanyakan sekolah di kawasan terbabit ditutup dan 10 orang penduduk terpaksa diselamatkan dari rumah mereka.
Selain itu, angin kencang turut menyukarkan kerja-kerja krew kecemasan.
MONTENEGRO
Di Montenegro, ahli meteorologi, Dragan Buric berkata, tempoh 10 hari pertama bulan ini adalah antara paling sejuk yang pernah dirasai di negara itu sejak berpuluh dekad lalu.
“Kita menyaksikan salji pada bulan ini di ibu kota Podgorica buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun,” ujarnya kepada stesen televisyen tempatan, Montenegrin.
BOSNIA
Di kawasan perbandaran Kladanj, Bosnia, salji menyebabkan gangguan terhadap bekalan elektrik dan sambungan talian telefon.
Pegawai agensi perlindungan awam, Zijad Vejzovic berkata, pihak berkuasa telah mengisytiharkan darurat di kawasan itu.
“Disebabkan oleh salji tebal, di sesetengah kawasan yang paras saljinya mencecah 1 meter, kebanyakan jalan telah terhalang.
“Kami memerlukan banyak lagi mesin. Kami sudah kehabisan sumber dan wang,” kata Vejzovic.
AMERIKA SYARIKAT
Dalam perkembangan berasingan, ribut salji diramalkan bergerak ke arah timur Amerika Syarikat (AS) pada hujung minggu ini.
Menurut AccuWeather, ribut terbabit akan mengakibatkan salji di kawasan seluas 1,609 kilometer.
Taburan salji setinggi 41 sentimeter diramalkan berlaku di barat Missouri dan kawasan St. Louis serta banyak kawasan terjejas lain di bahagian timur akan menerima taburan setinggi 15 sentimeter.
Fenomena ais juga akan berlaku di beberapa bahagian di Kansas, Arkansas dan Kentucky.
Menurut ahli meteorologi AccuWeather, Paul Walker, meskipun ribut terbabit akan melanda bahagian timur laut AS, namun ia juga bakal mengganggu perjalanan udara serta darat dari Kansas City ke Indianapolis selain menyebabkan ribut salji paling tebal ke Cincinnati dan Ohio River Valley. – AGENSI/REUTERS