Jepun sebelum ini menasihati lebih sejuta penduduknya berpindah dan beratus-ratus penerbangan keluar masuk dibatalkan.

Taufan Jebi menjadi bencana terbaharu selepas Jepun sebelum ini berdepan hujan lebat, tanah runtuh, banjir dan cuaca panas melampau yang membunuh beratus-ratus orang.

Beberapa kawasan mencatat air pasang tertinggi sejak taufan melanda kali terakhir pada 1961 dan stesen televisyen NHK melaporkan banjir berlaku di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai di Osaka.

Taufan berkenaan mulanya membadai Shikoku, pulau utama terkecil di Jepun sekitar tengah hari sebelum merentasi bahagian barat pulau utama terbesar, Honshu, berhampiran bandar Kobe beberapa jam kemudian.

Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran berkata, nasihat supaya berpindah dikeluarkan kepada penduduk selepas angin kencang selaju 208 kilometer sejam direkodkan di Shikoku dengan ramalan angin dijangka mencecah 216 kilometer sejam .

Rakaman televisyen menunjukkan gelombang besar ombak memukul sepanjang kawasan pantai, kepingan-kepingan besi berjatuhan di tempat letak ke­reta dan sebuah trak terbalik ekoran taufan tersebut.

Lebih 700 penerbangan dan kebanyakan perkhidmatan feri terpaksa dibatalkan dan taman hiburan terkenal, Universal Studios juga dilaporkan ditutup.

Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen antara Tokyo dan Hiroshima juga digantung dengan video yang dikongsi di laman Twitter menunjukkan sebahagian kecil bumbung stesen kereta api Kyoto runtuh.

Sekitar 177,000 penduduk di barat Jepun telah terputus bekalan elektrik dan syarikat Toyota Motor Corporation telah memba­talkan waktu kerja syif malam di kira-kira 14 loji syarikatnya. –REUTERS